Khamis, 24 Jun 2010

Menikmati Embun Pagi - Program penyerapan di Dorani Homestay


‘Khabareh . . . ?’


Itulah perkataan pertama yang kami dengar apabila kami baru sahaja tiba di rumah keluarga angkat kami. Kedudukan rumah keluarga angkat kami ini teguh dan moden tidaklah seperti apa yang kami gambarkan ketika kami membaca novel ‘Seorang Tua di Kaki Gunung’, karya Azizi Hj. Abdullah. Tidak seperti di Singapura, orang kampung di sini menikmati rumah yang besar. Ibu rumahnya boleh menampung kira-kira 20 tetamu dalam satu masa. Dapurnya pula terletak di tingakat bawah. Rumah kampung ini agak berbeza dengan rumah HDB di Singapura. Tandasnya diasingkan dari rumah. Halamannya pula besar dan boleh dimuatkan sebuah gelanggan sepak takraw. Berandanya pula disikan dengan sebuah ambeng yang boleh diduduk untuk bersembang.


Bapa angkat kami bernama Haji Abdul Rahman bin Masri. Dia berusia 73 tahun dan mempunyai empat orang anak dan dua belas orang cucu. Dia merupakan anak watan kampung Sungai Haji Dorani ini dan berketurunan Jawa. Dia merupakan seorang pesara dan mempunyai sebidang tanah yang luas. Dia juga merupakan seorang yang mesra dan peramah. Kami banyak menghabiskan masa di rumah untuk berkongsi pengalaman dengan keluarga angkat kami.



Encik Abdul Rahman sempat menceritakan pengalaman hidupnya di kampung. Dia memberitahu kami bahawa kawasan ini pernah dibom oleh pesawat pejuang Jepun ketika perang dunia kedua. Bom itu sebenarnya digugurkan untuk mengebom pesawat British. Sayangnya, bom itu tersasar lalu jatuh ke sawah padi. Walaupun sawah padi itu terletak setengah kilometer daripada rumah kampung ini, rumah kampung ini juga terkena percikan tanah. Perbualan kami beralih kepada perbincang mengenai kejadian gempa bumi. Dalam perbualan itu kami menyelitkan beberapa isu seperti kejadian tsunami di Aceh pada hujung tahun lalu dan ledakan gunung berapi, Krakatoa di Indonesia.



Walaupun hanya bermalam sehari di rumah kampung ini, kami mendapati bahawa banyak perbezaan di antara kehidupan orang kampung dan orang di bandar. Hidup di kampung ini, kenderaan sendiri merupakan satu kemestian. Ini kerana di kampung ini tidak adalah khidmat kenderaan awam. Perjalanan di antara satu rumah ke satu rumah agak jauh. Contohnya, rumah kampung keluarga angkat kami terletak 2 km jauh daripada pusat Homestay dan perjalanan kami ke pusat Homestay mengambil sepuluh minit itupun dengan menggunakan motorsikal. Jalanraya di kampung pula tidak berlampu. Kami masih ingat lagi apabila kami dibawa oleh bapa angkat kami ke pusat Homestay pada waktu malam untuk menyaksikan persembahan seni silat. Kami hanya harapkan cahaya lampu dari motorsikal sahaja untuk melihat apa yang berada dihadapkan kami.


Di samping itu, keadaan di kampung ini agak tenang. Jadual waktu mereka tidak seketat. Ini kerana kebanyakan daripada orang kampung ini bekerja sendiri. Kebanyakkan daripada mereka bercucuk tanam untuk menyara hidup mereka. Contohnya, bapa angkat kami mempunyai sebidang tanah. Tanah itu diusahakan supaya ia mendatangkan hasil. Di antara usaha yang bapa angkat kami lalukan ialah menaman padi. Kini sawah padi ini diusahakan oleh anaknya. Selain daripada itu, kami juga mempelajari bahawa ada sebilangan orang kampung di sini mengadakan aktiviti ekonomi seperti membuat kuih baulu dan kerepek pisang. Aktiviti-aktiviti ini dilakukan untuk mendapatkan wang sampingan sementara menunggu musim menuai padi.


Pada waktu malam, kami sukar untuk melelapkan mata. Ini kerana kami diganggu oleh dengungan dan gigitan nyamuk. Malah, kami juga diganggu oleh bunyi cengkri dan katak yang kadang-kala membuat kami tidak senang hati. Namun begitu, kami cuba untuk tidur. Keesokkan hari, kami dikejutkan oleh beberapa sahutan ayam. Selepas sembahyang subuh, kami pergi ke halaman seketika untuk menikmati embun pagi sambil menyedut udara yang nyaman. Pagi itu sungguh dingin sekali. Kami sempat membuat senaman ringan. Pada masa itu juga kami melihat matahari yang sedang terbit dari ufuk timur mengeluarkan sinarannya ke bumi. Satu peluang yang sukar untuk mendapatkan di Singapura.


Salah satu ciri yang kami kagum mengenai orang kampung ialah mereka masih mengekalkan ciri-ciri kemelayuan walaupun mereka menikmati pemodenan. Contohnya, mereka masih mengamalkan semangat kemasyarakatan. Mereka seringkali bertukar-tukar giliran untuk membawa rombongan kami ke tempat-tempat lawatan. Selain daripada itu, mereka juga mengedalikan program Homestay secara kumpulan. Mereka juga saling bantu-membantu antara satu sama lain untuk menyediakan makanan ketika di pusat Homestay. Mereka saling bantu-membantu dengan ikhlas tanpa minta ganjaran. Mereka juga pandai berbahasa Inggeris. Ini memudahkan mereka untuk berkomunikasi dengan bangsa lain.


Kami bersyukur kerana diberi peluang untuk menyelami kehidupan di kampung pada cuti sekolah. Kehidupan di kampung ini amat berbeza sekali jika dibandingkan dengan kehidupan di bandar. Malah, pengalaman kami di kampung ini membuat kami lebih dewasa lagi. Bak akata pepatah Melayu, ‘Semakin jauh perjalanan semakin luas permandangan.’ Walapun kami hanya tinggal semalam di rumah bapa angkat kami, hubungan kami dengan keluarga angkat semakin erat. Malah, kami mengaanggap mereka sebagai sebahagian daripada anggota keluarga kami. Kami berharap kami dapat mengekalkan hubungan erat ini walapun tinggal berjauhan. Sebelum berangkat pulang ke Singapura, kami sempat memberikan cenderahati kepada mereka dan mengucapkan terima kasih kepada bapa angkat kami kerana melayan kami dengan baik


Muhammad Farid & Abdul Aziz


Tiada ulasan:

Catat Ulasan