Masyarakat Melayu sudah mengecapi pemodenan. Namun, ada di antara kita menganggap pemodenan ini sebagai penghalang utama dalam mengekalkan budaya Melayu. Ada juga yang berpendapat bahawa sukar bagi masyarakat Melayu untuk mengekalkan budaya Melayu di samping hidup dalam keadaan moden. Malah tanggapan popular dalam masyarakat kita ialah pemodenan bererti kebaratan. Adakah pemodenan ini bererti kita harus meninggalkan cara hidup lama? Menurut Syed Hussin Alatas di dalam bukunya “Modernization dan Social Change”, pemodenan ditaktifkan sebagai satu proses di mana ilmu saintifik moden mencakupi semua aspek dalam kehidupan manusia diperkenalkan berperingkat-peringkat, pertama, dalam tamadun barat dan kemudian diterapkan ke dunia bukan barat, menerusi cara yang berbeza dengan tujuan untuk mengecap kehidupan yang lebih memuaskan selagi diterima oleh masyarakat berkenaan. Sebelum kita membincangkan cara-cara untuk melestarikan, memperkembangkan dan mengekalkan budaya Melayu, elok juga kita memperbetulkan tanggapan yang kurang betul mengenai pemodenan dan budaya.
1) Pemodenan bukan bererti pembaratan
Ramai orang melayu berpendapat bahawa pemodenan akan membuat masyarakat Melayu semakan barat atau kurang melayu. Mereka tidak menganggap perubahan itu adalah sebahagian daripada evolusi. Contohnya, apabila kita memakan nasi lemak menggunakan sudu dan garpu, kita akan mengatakan bahawa kita tidak lagi mengikut adat orang Melayu. Mereka melihat cara memakan sudu dengan garpu sebagai satu budaya yang asing. Namun, apabila orang Melayu terutama sekali orang yang hidup dalam istana sudah mula menghasilkan manuskrip dengan menggunakan kertas, tidak ada satu orang pun yang telah mengatakan bahawa adat istiadat melayu sudah “kecinaan” sedangkan kertas dilahirkan dalam tamadun Cina semasa dinasti Han dan wang kertas dicipta dalam zaman dinasti Song (960-1279). Tamadun Cina telah lama merevolisi ekonomi dunia dengan ciptaan wang kertas. Namun, revolusi ini tidak pernah dipanggil “ketimuran” atau “kecinaan.”
Tanggapan moden sebagai pembaratan harus diperbetulkan. Memakan dengan sudu dan garpu tidak bererti kita sudah menjadi kebaratan (Gambar diambil semasa berada di Padang, Sumatra Barat).
2) Pemodenan sebagai alat perubahan budaya
Untuk memahami masyarakat Melayu dan budaya, kita harus melihat masyarakat dan budaya adalah proses peralihan daripada tradisional dan moden. Tradisional merupakan warisan budaya dan sosial yang diturunkan dari masa ke masa. Tanggapan orang ramai mengenai pemodenan sebagai satu budaya amat ketara. Memang benar sain dan teknologi tidak dapat tercipta tanpa menggunakan akal fikiran. Namun, pemodenan itu bukanlah satu budaya. Ia merupakan alat untuk mengubah budaya hidup masayarakat. Apabila kita membaca Ceretera Kapal Asap, Abdullah Munsyi berasa kagum dengan kapal-kapal yang datang daripada Eropah. Di dalam ceretera ini dia mengatakan “syahdan lagi adapun pekerjaan membuat kapal asap itu bukannya dengan kesaktiannya atau hantu syaitan atau polong atau penanggal atau pontianak atau barang-barang bagai kuasa yang ada di negeri Melayu, melainkan jikalau ada orang yang hendak belajar itu, dengan mudahnya juga boleh mendapat.” Apabila kita bandingkan kapal-kapal dari Eropah dan perahu-perahu yang direka oleh orang Melayu pada kurun kesembilanbelas, sudah tentu kapal-kapal dari Eropah ini lebih canggih dan perahu-perahu kecil dianggap mundur. Sebenarnya, pembuat-pembuat kapal oleh orang Melayu sudah menunjukkan kegunaan sains. Ini adalah kerana, pembuat-pembuat kapal dan perahu ini juga mempunyai corak dan rekaan tersendiri untuk membolehkan kapal-kapal ini dapat belayar mengikut arah tuju angin bertiup.
Nelayan di Bali masih menggunakan perahu kecil unutk menangkap ikan. Perahu kecil ini masih digunakan kerana masih berkesan (Gambar diambil di Bali).
3) Budaya boleh dibentuk
Menurut Alfred Schutz, konstruksi sosial merupakan satu kaedah di mana budaya sesebuah masyarakat dibentuk dan ditetapkan oleh manusia sendiri. Konstruksi budaya ini lebih bergantung kepada pemikiran orang yang berkuasa di dalam masyarakat pada ketika itu. Contohnya, pada zaman kesultanan Melaka, pemikiran orang melayu telah dijajah untuk taat setia tanpa berbelah bagi kepada rajanya. Ini adalah kerana raja mempunyai daulat. Peraturan dan adat istiadat orang Melayu ada tertera dalam Undang-undang melaka (dikaji dan di[erkenalkan oleh Liaw Yiok Fang). Sesiapa sahaja memakai pakaian berwarna kuning akan dihukum bunuh. Kini, sesiapa sahaja boelh memakai pakaian kuning. Kenapa dibolehkan memakai pakaian kuning pada hari ini? Ini adalah kerana undang-undang Melaka tidak lagi berfungsi lagi. Undang-undang sekarang tidak kira di Malaysia atau Singapura tidak melarang rakyatnya memakai. Ini merupakan salah satu contoh bagaimana budaya Melayu dibentuk oleh pemikiran orang yang berkuasa.
Jika Undang-undang Melaka masih digunakan lagi, sudah tentu orang yang memegang payung kuning itu akan dihukum bunuh. Namun, masa sudah berubah (Gambar diambil di Melaka, hari pernikahan anak saudara).
4) Perubahan minda tidak semestinya mendatangkan pemodenan
Namun, ini tidak bererti perubahan minda akan membuat budaya kita semakin moden. China misalnya, revolusi budaya atau Culture Revolution yang mendokong fahaman sosialis tidak membawa apa-apa kemajuan. Sistem sosialis yang menolak budaya ganjaran bagi setiap pekerjaan gagal untuk memupuk rakyatnya untuk bekerja dengan ikhlas untuk kesejahteraan masyarakat. Budaya feudalisme telah dihapuskan secara sistematik. Nilai-nilai Confucius yang dianggap menjejas fahaman komunis telah diharamkan. Akhirnya, ekonomi China semakin mundur dan rakyat hidup dalam kemiskinan hampir tiga dekad. Oleh kerana revolusi budaya inilah, ekonomi China semakin kebelakang. Negara seperti Korea Selatan, Jepun, Taiwan dan Singapura yang dikenali sebagai Asia Timur sudah menikmati kemakmuran berdasarkan mengamalkan nilai-nilai Asia (Asian values) yang berasaskan daripada fahaman Confucius. Akhirnya, Deng Xioping telah membuat keputusan untuk mengetepikan fahaman sosialis ini dan buka semula ekonomi China yang agak malap pada ketika itu. Kini, China sudah menampak kemajuan dari segi ekonomi. Namun, tidak salah bagai orang melayu mengamalkan nilai-nilai Confucius asalkan tidak menentang nilai-nilai Islam. Malah, nilai-nilai murni daripada fahaman Confucius ini adalah nilai universal. Mengikut nilai-nilai Confucius tidak bererti orang Melayu semakin kecinaan.
Kesimpulannya
Mempertingkatkan, memperkayakan dan mengekalkan budaya Melayu haruslah mempunyai tanggap yang betul mengenai pemodenan dan budaya. Jika kita tidak menganggap kemodenan sebagai sebahagian daripada evolusi budaya, sukar bagai masyarakat Melayu untuk menerima kemajian. Kapal-kapal berasap yang diceritakan oleh Abdullah Munsyi merupakan perubahan evolusi daripada kapal layar dan kapal enjin yang ada kini merupakan sebahagian daripada evolusi perkapalan. Jika masyarakat Melayu menganggap kapal berasap adalah hasil daripada budaya barat dan tidak mahu menerima teknologi dan kepakaran daripada mereka, orang Melayu akan ketinggalan. Ikutilah semangat orang Jepun yang berjaya menghasilkan pesawat perjuangnya Mitsubishi A5M atau dikenali sebagai gelaran pesawat “zero fighter” yang merupakan pesawat pejuang yang tercanggih dalam perang dunia kedua hasil daripada kepintaran jurutera Jepun yang juga belajar ilmu sains daripada barat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan