Isnin, 5 Julai 2010

Melestarikan syair: Fungsi, tradisi dan relevannya

Di dalam papan blog ini saya ingin membincangkan mengenai syair. Oleh itu saya akan membahagikan penulisan saya ini kepada tiga bahagian: Pertama, saya akan membincangkan apakah ciri-ciri syair yang baik. Kedua, mengapa syair tradisional harus dikekalkan dan didokumentasikan. Akhir sekali, bagaimana masyarakat dapat melestarikan syair. Penulisan saya pada kali ini mempunyai tujuan untuk mendidikan pembaca mengenai syair. Oleh itu, saya akan menerangkan perbincangan saya secara berformat dan tersusun tidak seperti penulisan saya sebelum ini yang lebih bercorak penulisan esei.

Saya juga masih dalam proses pembelajaran mengenai syair. Oleh itu, jika ada silap dan salah tolong tunjukkan.

1) Ciri-ciri syair yang baik
Saya ingin menukil ciri-ciri syair yang baik daripada buku "Dalam berkekalan persahabatan: Surat-surat Raja Ali Haji kepada Von de Wall" yang diterjemahkan oleh pensyarah saya, Associate Professor Jan van der Putten dan Dr Al Azhar Ibrahim. Di dalam perhubungan surat-menyurat Raja Ali Haji dan Residen Holanda Von de Wall, Raja Ali haji telah memperjelaskan kepada Von de Wall mengenai ciri-ciri syair yang baik. Ciri-ciri syair telah dijelaskan oleh Raja Ali Haji seperti berikut:

Kesempurnaan syair Melayu ada tiga ciri:
1) cukup timbangannya
  • Syair Melayu ada empat misra', yakni empat keping tudung pintu diumpamakan orang
  • Maka tiap-tiap satu misra' empat ditimbang dengan empat kalimah yakni empat kata
  • Adapaun satu kata itu siku-siku disebut orang satu-satunya
  • Mafhumlah orang sama ada nama atau perbuatan atau huruf
  • Empat misra' itu jadi enam belas kata-kata
  • Contohnya:
Dengarkan tuan suatu rencana
Dikarang fakir dagang yang hina
Barangkali ada yang kuringa kena
Tuan betulkan jadi sempurna

2) betul sajaknya
  • bermula adalah sajak itu huruf yang jatuh pada akhir tiap-tiap misra'
  • Contohnya:
Ayuhai saudaraku yang pilihan
menuntut ilmu janganlah segan
Jika tiada ilmu di badan
seperti binatang di dalam hutan

3) tiada cacat dengan sebab berulang-ulang apalagi janggal
  • syair yang cacat atas tiga perkara: cacat pada sajaknya, cacat pada berulang-ulang yang bukan ta'kid dan tiada cacat kepada sajak, yaitu perkataan di dalam empat misra' itu berlainan mafhumnya jadi tiada berketahuan.
  • Contoh 1:
Dengarkan tuan suatu peri
Di dalam laut hiu dan pari
Mengenangkan untung nasibnya diri
Mukanya manis berseri berseri
  • Contoh 2:
hai sahabatku yang berbudi lagi berakal
janganlah kamu lalai dan jahat
Hendaklah kamu berusaha serta rajin dengan tawakal
ketika mudamu apalah patut bekerja mencari bekal
  • Jika hendak dibetulkan timbangannya serta mafhum maknanya, bersamaan juga maksudnya inilah misalnya:
Hai sahabatku yang berakal
Janganlah kamu lalai dan nakal
hendaklah kamu rajin tawakal
Ketika mudamu mencari bekal

"Namun begitu, ciri-ciri syair ini merupakan analisis daripada teorinya. Syair masih ada tradisi oral. Syair merupakan salah satu bentuk puisi tradisional Melayu yang mempunyai tradisi oral. Kesannya lebih kepada mendengar daripada membaca. Oleh itu, syair bukan sahaja diuji dari cara mengarangnya tetapi bacaannya juga"

2) Mengapa syair tradisi harus dikekalkan dan didokumentasikan

Pelbagai sebab mengapa syair-syair lama harus didokumentasikan. Syair-syair lama ini dikarang oleh dengan tujuan berhibur, merakamkan detik-detik sejarah, agama, nasihat dan sebagainya. Salah satu syair yang saya telah mendeklamasikan ialah syair Radin Mas Ayu. pada ketika itu, saya ditugas untuk mempamerkan budaya dan sastera Melayu di Singapura ketika saya berdarmasiwata ke Sumatra Barat.

Pada malam hari kedua, mahasiswa-mahasiswa daripada kedua-dua universiti, Universiti kebangsaaan Singapura dan Universitas Andalas bertukar-tukar budaya. Pada malam itu saya telah menyanyikan syair Radin Mas Ayu. Saya telah memilih syair ini kerana syair ini mengesahkan hikayat Radin Emas yang berlaku di Singapura. Pada pendapat saya, syair ini boleh membuat orang Singapura lebih bangga kerana ia menunjukkan sejarah kerajaan temasek yang lebih lama. walaupun ada juga Syair Singapura terbakar dan Syair kampung Glam terbakar yang dikarang oleh Abdullah bin Abdul Kadir Munsyi.

Namun begitu, syair-syair yang dikarang oleh Abdullah Munsyi ini dikarang dalam konteks moden. Jika kita meneliti syair-syair lama seperti syair Siti Zubaidah dan sebagainya, syair ini tidak jelas siapa pengarangnya. Natijahnya, apa yang hendak ditekankan oleh saya di sini ialah dokumentasi dan pengekalan syair-syair lama ini amat penting kerana ia merupakan warisan pusaka kita.

Inilah gambar saya apabila saya membaca syair. Ini merupakan bacaan syair saya yang pertama di depan khalayak ramai semasa dalam sesi pertukaran budaya dengan mahasiswa Universitas Andalas. Namun, sayangnya, saya tidak memakai sepatu yang sesuai. Berikut adalah sebahagian syair yang saya baca:

Tersebutlah kisah dahulu kala
Kisah terjadi di Signapura
Seorang wanita cantik parasnya
Radin Mas Ayu diberi nama

Pangeran Adipati Agung ayahnya
Dia adalah seorang duda
Isteri terbunuh kerana bencana
Rumah dibakar baginda murka

Kerana kecewa dengan abangnya
membawa diri ke Singapura
Radin Mas Ayu menurut serta
Tinggal di Kampung Telok Belangah

3) bagaimana masyarakat dapat melestarikan bacaan syair

Pelestarian bacaan syair ini boleh diusahakan dari semua lapisan masyarakat:

Pertama, bukan sahaja menerapkan bacaan syair di dalam sukumatapelajaran, bacaan syair juga harus diuji dalam peperiksaan.
(a) Jika bacaan syair ini diuji dalam peperiksaan, ramai anak-anak Melayu akan mengambil berat tentang syair ini
(b) secara alternatif, para pelajar yang mengambil mata pelajaran sastera di sekolah-sekolah seharusnya diuji secara lisan mengenai puisi tradisional seperti bacaan syair dan mengarang pantun secara spontan

Kedua, melestari syair dengan cara sukarela bukan menerusi peperiksaan
(a) persatuan-persatuan bahasa Melayu boleh mengadakan pertandingan mengarang dan membaca syair
(b) bengkel untuk mengarang dan membaca syair akan diadakan untuk para peserta

Ketiga, mengarang syair untuk acara-acara khas
(a) syair untuk acara-acara khas ini amat jarang dilakukan oleh badan-badan melayu di Singapura
(b) Contoh klip video di bawah ini merupakan bacaan syair yang telah dikarang semasa ulang tahun yang ke seratus Kolej Melayu Kuala kangsar (MCKK). Syair ini menceritakan sejarah seratus tahun MCKK.



(c) Diharap juga persatuan-persatuan Melayu di Singapura menjadikan bacaan syair itu sebagai trend
(d) trend haruslah dipupuk dari sekarang

"Contohnya, Persatuan Pengajian Melayu Universiti Kebangsaan Singapura (NUS MSS) boleh memulakan atau mangadakan bacaan syair sebagai acara selingan. Pengajur juga boleh mencipta syair khas untuk acara Deklamasi Sajak Kreatif (DSK) mengikut tema pada pertandingan tersebut." (Gambar ini diambil semasa DSK 2010)

"Usia Piala Pusingan Suratman Markasan ini sudah berusia hampir 14 tahun. Piala ini ditaja oleh Encik Suratman Markasan. Tahun depan adalah tahun ke 15 pertandingan berbalas pantun di antara institusi posmenengah atau dikenali sebagai Pesta Pantun akan diadakan. Piala ini sungguh berprestij. Alangkah baiknya jika ada orang yang sudi mengarang syair khas untuk acara tahun depan bagi memperingati ulang tahun Pesta Pantun yang kelimabelas. Pesta pantun merupakan acara tahunan PBMUKS"

(e) salah satu lagi contoh untuk melestarikan bacaan syair ini boleh dilihat melalui video klip seterusnya, di mana syair mengenai menunaikan haji turut dibaca sebagai upacara rasmi unutk menghantar jemaah haji dari Signapura untuk ke tanah suci Mekah:



Keempat,
syair sebagai alat untuk mengulangkaji pelajaran.
(a) Pelajar juga boleh mencipta syair untuk mengulangkaji pelajaran
(b) Kaedah ini mungkin berkesan. Ini adalah kerana ini muda diingat kerana bentuk rimanya
(c) Syair yang dicipta itu mudah dibaca, difahamkan dan sering rasa terhibur

Kesimpulan
Walaupun syair ini merupakan puisi Melayu tradisional, ia masih boleh kekal relevan hingga ke hari ini dengan menciptan pelbagai-bagai syair yang bersangkut paut dengan hal semasa asalkan format dan cara bacaan syair itu tetapi terpelihara. Namun, ilmu untuk mengarang syair itu tidak mencukupi tanpa belajar cara membacaannya. Saya juga masih dalam proses pembelajaran untuk belajar tentang syair. Masih banyak lagi ilmu mengenai syair yang saya belum pelajari. Saya berharap saya dapat diberi peluang untuk mempelajari lebih mendalam mengenai syair di masa hadapan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan