Ahad, 10 Januari 2016

Embun Malam


Diterbitkan: Berita Harian, Isnin, 10 November 2015
Tarikh: 27 September 2015)

Sudah pukul satu pagi. Aku masih lagi di luar Artscience Museum. Fikiranku bercelaru. Fikiranku masih lagi berkecamuk memikirkan tentang perbincangan petang semalam. Setiap kali aku berasa tertekan, aku akan mengasingkan diriku daripada orang ramai. Aku tidak mahu diriku diganggu. Lazimnya aku akan pergi ke tempat sunyi untuk mencari ketenangan. Pemandangan East Coast Park tidak secantik Marina Reservoir. Pemandangan laut dari East Coast Park pada waktu malam dibanjiri dengan kilauan lampu dari kapal-kapal yang sedang berlayar ke arah Selat Melaka dan Laut Cina Selatan. Di Marina Reservoir, airnya tenang. Bayu malam bertiup manja. Aku mula terasa sejuk seperti aku berada di dalam bilik berhawa dingin. Memang sungguh indah jika aku dapat bermalam di sini. Maka, tidak menghairankanlah apabila aku ternampak beberapa orang sedang tidur nyenyak di bangku di luar Marina Bay Sands. Mungkin mereka lebih selesa tidur dalam suhu yang dingin. Beberapa orang kelihatan sedang tidur nyenyak di atas lantai yang beralaskan kadbod. Ramai di antara mereka berada dalam lingkungan usia lima puluhan. Ada yang tidur berbantalkan beg kecil.

            Aku duduk di bangku yang kosong sambil melihat bangunan-bangunan pencakar langit. Masih ada dua atau tiga bilik pejabat yang belum dipadam lampunya. Mungkin mereka sudah pulang ke rumah tetapi terlupa untuk mematikan lampu. Lampu-lampu di luar kawasan Bank of China masih lagi bernyala. Tiba-tiba fikiranku menerawang ke peristiwa yang berlaku petang semalam.

            “Kita masih belum bersedia untuk menganjurkan projek ini. Projek ini memerlukan dana yang besar. Malah, jumlah sukarelawan yang ada sekarang juga belum cukup besar untuk menampung projek yang masih dijalankan,” kataku kepada Mustaqim.

            Mustaqim diam seketika. Keputusan sama ada projek yang diusulnya akan diteruskan atau tidak belum lagi mencapai kata putus. Aku dan Mustaqim telah menjadi sahabat sejak berada di sekolah menengah. Dia mempunyai cita-cita tinggi. Dia mahu menjadi seorang saintis. Kini, Mustaqim bekerja di sebuah institut penyelidikan. Bak kata pepatah Melayu, genggam bara api biar sampai jadi arang.  Dia belajar sepanjang masa kecuali waktu sembahyang, makan dan tidur. Ibunya seorang juruwang di Pasar Raya Sheng Siong. Bapanya pula bekerja sebagai pegawai keselamatan di pusat membeli-belah Lot 1. Dia merupakan anak sulung dalam lima orang adik-beradik.

Syukur Alhamdulillah. Permohonan Mustaqim untuk mendapatkan subsidi  Tertiary Tuition Fee Subsidy (TTFS) daripada Mendaki diluluskan. Selepas menjalani Perkhidmatan Negara, dia melanjutkan pelajarannya di Universiti Teknologikal Nanyang. Kini, aku dan Mustaqim merupakan rakan kongsi sebuah pertubuhan perkhidmatan sosial yang bernama Loving Care. Sejak Loving Care ditubuhkan, aku dan Mustaqim serta sukarelawan yang lain telah membawa ramai warga emas ke tempat-tempat menarik. Dua atau tiga bulan sekali, kami akan membawa sekurang-kurangnya dua puluh warga emas yang menetap di kawasan perumahan Bukit Merah ke acara Chingay, Botanical Garden dan aktiviti Bulan Bahasa. Kos pengangkutan seperti bas ditaja oleh badan-badan bantu diri. Ongkos makanan, minuman dan cenderahati pula ditaja oleh Mustaqim. Selepas pulang daripada lawatan, para sukarelawan dan warga emas akan duduk sebentar di kolong blok untuk menikmati juadah.

            Semua projek berjalan dengan lancar. Namun begitu, cita-cita Mustaqim terlalu tinggi. Petang semalam Mustaqim mengusulkan agar Loving Care membina sebuah rumah tumpangan anak-anak yatim di Sumatra Selatan. Sebenarnya, aku setuju dengan cadangan itu. Sejak di bangku sekolah, aku digalak untuk berbakti kepada masyarakat. Namun begitu, aku ingat pesanan guruku. Dia menasihatkan aku supaya mengutamakan keperluan masysarakat tempatan dahulu sebelum memberi bantuan kepada masyarakat di luar negara. Terlebih dahulu seseorang itu harus menjaga kebajikan dan memberi nafkah kepada kedua-dua orang tua dan isteri. Kemudian melaksanakan kewajiban sebagai seorang Muslim dengan mengeluarkan zakat. Jika ada duit simpanan yang banyak, derma sebahagian daripada harta tersebut kepada badan-badan masyarakat seperti Lembaga Biasiswa Kenangan Maulud (LBKM) dan The Straits Times School Pocket Money Fund. Apabila sudah berbakti kepada masyarakat di sini barulah memberi sumbangan wang dan tenaga kepada masyarakat yang memerlukan di luar negara. Jangan sampai orang menegur kita dengan peribahasa kera di hutan disusukan, anak di rumah kelaparan. Sibuk buat kerja amal di luar negara tetapi tidak pernah mengeluarkan zakat dan memberi nafkah kepada isteri dan ibu bapa.

            “Mustaqim, memang niat engkau baik. Tetapi kita harus fokus kepada perancangan yang kita sudah tetapkan. Loving Care baru sahaja ditubuhkan pada tahun lalu. Kedudukan pertubuhan ini juga belum stabil. Bilangan sukarelawan pula belum tetap. Si Comat, anak Pak Sudin. Dia hanya datang sekali sahaja,” jelasku lagi.

            “Kau tidak yakin dengan kebolehan aku?” kata Mustaqim.

            “Aku yakin dengan kebolehan kau. Kita baharu sahaja memulakan skim derma Kamus Dewan. Sesiapa sahaja yang mempunyai lebih daripada satu Kamus Dewan di rumah, boleh menderma kamus kepada pelajar-pelajar yang datang dari keluarga susah. Kita juga baru memulakan kempen meningkatkan kesedaran tentang pengambilan makanan sihat dalam kalangan warga tua. Hujung minggu depan, kita akan membawa beberapa sukarelawan untuk mengecat rumah sewa yang didiami oleh warga tua. Aku tidak yakin yang pertubuhan kita dapat menjalankan tiga atau empat projek serentak. Nanti, yang dikejar tak dapat yang dikendung keciciran,” kataku lagi.

            “Jangan bimbang, sahabatku. Soal dana, jangan kau khuatir. Aku akan menjemput beberapa orang lain untuk turut menjayakan projek di Jawa Tengah. Aku mahu pertubuhan ini memainkan peranan yang lebih besar. Aku yakin kerja-kerja kebajikan di luar negara dapat menarik lebih ramai sukarelawan. Aku yajin sebahagian daripada sukarelawan yang bakal tampil ke hadapan mempunyai niat untuk melancong dan bukan semata-mata untuk membuat kerja kemasyarakatan. Namun, lama-kelamaan, sukarelawan daripada golongan ini akan tergerak hati untuk berubah sikap. Dalam jangka masa panjang, mereka akan melibatkan diri dalam kerja-kerja kemasyarakatan di luar negara kerana mahu berbakti kepada masyarakat dan bukan untuk melancong. InsyAllah,” jelas Mustaqim dengan penuh yakin sambil melihat Facebooknya di telefon bijak.


            Tiba-tiba dentuman guruh membuat aku tersentak daripada lamunan. Hujan sudah mula turun jatuh ke bumi dengan derasnya. Tanpa membuang masa, aku masuk ke dalam Marina Bay Sands Shopping Mall untuk berteduh. Orang-orang yang tidur di bangku juga terbangun. Dalam keadaan menggigil, mereka cepat-cepat lari untuk mencari tempat teduh. Tiba-tiba, aku ternampak seorang warga tua masih berbaring di tempat duduk. Aku berasa hairan. Degup jantungku semakin kuat. Dalam keadaan ini, aku keluar daripada tempat berteduh untuk mengejutkan orang itu. Aku menepuk badan orang itu Dia tidak sedarkan diri. Hatiku tertanya-tanya. Dengan pantas aku menelefon ambulan. Aku mula berasa hairan. Adakah dia pengsan atau sudah meninggal dunia?  Mengapakah dia tidur di sini? Di mana dia tinggal? Apabila aku membuka begnya, aku ternampak baju uniform yang lazimnya dipakai oleh pekerja pembersih di kedai kopi, tuala mandi, sabun dan berus gigi. Tanpa berlengah-lengah lagi aku mengangkatnya perlahan-lahan dan membawanya ke tempat teduh.


Dwibahasa dan Pengajian Melayu

Pada tanggal 28 November 2011, mantan Perdana Menteri Singapura, Encik Lee Kuan Yew telah melancarkan buku terkininya yang berjudul My Lifelong Challenge: Singapore’s Bilingual Journey (Cabaran Sepanjang hayat Saya: Perjalanan Dwibahasa Singapura).  Menurut beliau dasar-dasar dwibahasa ini merupakan salah satu tunggak asas kemajuan Singapura. Mengapa Encik Lee menekankan rakyatnya untuk menguasai dwibahasa? Adakah penekanan ini merupakan satu initiatif baru?

Orientalis dalam pengajian Melayu
Sebenarnya, penekanan untuk menguasai dua bahasa ini telah lama diketengahkan oleh Abdullah bin Abdul Kadir Munsyi seawal abad kesembilanbelas. Kesedarannya mengenai pentingnya orang Melayu menguasai dua bahasa tercetus apabila dia mula terkesan dengan kegigihan dan ketaksuban orang Inggeris mahu mempelajari bahasa Melayu.  Pegawai daripada Syarikat Hindia Timur (EIC) yang merantau di kepulauan Melayu ini mempunyai muslihat tersendiri. Mereka datang ke kepulauan Melayu ini bukan sekadar untuk berniaga. Mereka datang ke sini dengan corak pemikiran bahawa budaya dan tamadun barat lebih mulia daripada tamadun yang sudah dikecapi oleh bangsa timur. Salah satu cara untuk memperkecilkan sejarah dan kesusasteraan Melayu ialah menjajah minda. Penjajahan minda ini telah dilakukan dengan cara mengawal ilmu. Penjajahan minda ini dilakukan oleh orang Inggeris dengan satu cara yang mudah. Mereka mempelajari bahasa Melayu. Dengan mempelajari bahasa Melayu, mereka dapat mengkaji mengenai budaya dan sastera Melayu.  Oleh kerana masyarakat Melayu pada masa itu tidak tahu membaca dan menulis,  banyak ilmu yang terkandung dalam hikayat-hikayat Melayu lama telah diperolehi oleh penjajah Inggeris terlebih dahulu. Kemudian, ilmu yang diperolehi oleh penjajah Inggeris ini telah dikembalikan kepada orang Melayu dengan mengikut citarasa orang Inggeris.

Salah satu contoh bagaimana penjajah Inggeris mengembalikan ilmu kepada orang Melayu ialah penglibatan mereka dalam mengalih bahasakan hikayat Sulalatus Salatin.  Sulalatus Salatin membawa maksud salasilah sultan-sultan atau peraturan segara raja-raja. Leyden dan Raffles adalah merupakan segelintir pengkaji Timur yang berawal untuk mengalih bahasa Sulalatus Salatin kepada bahasa Inggeris. Mereka menamakan Sulalatus Salatin sebagai Sejarah Melayu (Malay Annals).  Kemudian Hikayat Sejarah Melayu ini telah dijadikan sebuah buku garis pandu kepada setiap pegawai Inggeris yang dihantar ke tanah Melayu yang berkhidmat untuk memahami budaya dan nilai hidup orang Melayu. Sebenarnya Raffles bukanlah sebijak yang disangkakan oleh rakyat Singapura yang kononnya dialah satu-satunya manusia yang sedar mengenai lokasi strategik Singapura. Raffles pada awal lagi sudah mengetahui lokasi strategik Singapura setelah membaca Sulalatus Salatin.  Beliau tahu Singapura pada satu ketika dahulu pernah menjadi sebuah perlabuhan termahsyur. Tidak mustahil Singapura akan menjadi sebuah perlabuhan yang termahsyur sekali lagi pada kurun kesembilanbelas.

Kita dapat melihat bagaimana penguasaan dwibahasa oleh penjajah Inggeris boleh meletakkan martabat orang Melayu ketahap yang rendah. Salah satu daripada cenderiakawan terkenal dalam pengajian Melayu ialah R. O. Windstedt. Beliau telah banyak menulis buku sejarah mengenai dunia Melau. Di antara buku-buku yang pernah dihasilkan oleh beliau ialah A History of Johore: 1365-1941, A History of Perak, Hikayat Bayan Budiman dan Hikayat Malim Dewa. Walaupun R. O. Windstedt telah banyak menghasilkan buku-buku sejarah dan merumikan hikayat-hikayat lama, beliau mempunyai tanggap yang negatif terhadap sastera Melayu. Pada pendapat beliau, kesusasteraan Melayu tidak asli dan bercampur aduk dengan pengaruh Hindu dan Islam. Malah, kesusasteraan Melayu telah dianggapnya sebagai tidak objektif dan penuh dengan khayalan mintos dan cerita dongeng.

Pendapat R.O. Windsted ini bukanlah perkara asing. Pendapat beliau selari dengan pengkaji timur yang lain seperti Raffles, Crawfurd, Wilkinson, Swettenham dan Maxwell yang mempunyai pemikiran bercorak Orientalism. Orientalism merupakan satu konsep sosiologi yang dicipta oleh cenderikiawan Kristian Palestin, Edward Said. Berdasarkan konsep yang dicipta oleh beliau, Orientalism ini merupakan sebuah corak pemikiran sesebuah pengkaji yang mencipta dikotomi Barat-Timur.  Pada masa yang sama hasil kajian mereka seringkali memperlekekkan budaya Timur dengan berpendapat bahawa budaya barat itu lebih mulia.

Perkembangan Dasar-dasar bahasa di negeri-negeri Melayu pada kurun kesembilanbelas
Abdullah Munsyi mempunyai cita-cita tinggi untuk masyarakatnya. Seawal kurun kesembilanbelas, beliau sudah lihat betapa pentingnya menguasai dwibahasa. Di dalam autobiografi Abdullah Munsyi, beliau pernah bekerjasama dengan Tuan Milne dalam menghasilkan beberapa buku kira-kira yang dialih bahasakan dalam bahasa Melayu.  Namun begitu, cita-cita tinggi beliau itu sukar dicapai kerana pada masa itu ramai di antara masyarakat Melayu buta huruf. Orang Melayu yang celik huruf hanya tersekat kepada golongan bangsawan. Berdasarkan maklumat-maklumat yang terkandung di dalam Hikayat Abdullah Munsyi, orang Melayu tidak berminat untuk belajar membaca dan menulis bahasa Melayu. Mereka hanya berminat untuk mengaji muqaddam walaupun mereka tidak faham bahasa yang mereka baca.  Usaha untuk menggalakkan orang Melayu belajar tulis dan baca bermula dengan baiknya apabila Maharaja Abu Bakar mula membuka negeri di Tanjung Puteri. Ibrahim Munsyi, anak kepada Abdullah Munsyi telah dilantik menjadi Menteri Bentara Dalam. Beliau ditugaskan untuk membina sistem persekolahan di Johor. Walaupun Johor mempunyai banyak sekolah. Melayu daripada sekolah Inggeris, perkembangan ini sejajar dengan keadaan di Johor. Pada ketika itu, bahasa penghantaran di Johor merupakan bahasa Melayu bukan bahasa Inggeris. Pada masa yang sama, Ibrahim Munsyi serta pembesar-pembesar yang lain juga turut terlibat dalam pengalihan bahasa buku Inggeris ke Melayu.

Dalam usaha kerajaan Negeri Johor untuk mendidik anak bangsanya bahasa Melayu, sistem pendidikan di negeri-negeri melayu yang lain juga sudah bermula. Namun negitu, visi pendidikan di Persekutuan Negeri-negeri Melayu (Federated Malay States) amat berbeza dengan kerajaan negeri Johor. Frank Swettenham, Governor-General Persekutan Negeri-negeri Melayu, mengaku bahawa memang tujuan penjajahan Inggeris untuk menafikan orang Melayu untuk belajar bahasa Inggeris. Pada pendapatnya, jika orang Melayu sudah tahu berbahasa Inggeris, mereka akan menjadi cerdik pandai dan berani menentang penjajah Inggeris. Oleh itu, orang Melayu hanya dibenarkan untuk belajar bahasa Melayu dan penguasaan dwibahasa ketika di dalam penjajah Inggeris amat tidak digalakkan. Penguasaan dwibahasa hanya diberikan kepada segelintir anak Melayu yang berketurunan raja dengan tujuan untuk dijadikan pegawai muda di dalam Malayan Civil Service.

Pengajian Melayu dan dwibahasa
Pengajian Melayu pada hari ini berdepan dengan pelbagai cabaran.  Salah satu cabaran yang dihadapi oleh Pengajian Melayu ialah bahasa. Banyak sumber-sumber sejarah mengenai perkembangan politik dan sosial orang Melayu berada dalam bahasa bekas bahasa penjajah seperti bahasa Portugis, Sepanyol, Belanda dan Inggeris. Sejauh ini Jabatan pengajian Melayu di NUS, tidak meletakkan syarat menuntut yang mengikuti kursus pengajian Melayu untuk menguasai salah satu daripada bahasa yang telah saya sebutkan tadi.  Banyak faedahnya jika penuntut pengajian Melayu tidak kira di universiti Malaysia, Singapura atau Indonesia tahu lebih daripada dua bahasa selain daripada bahasa Inggeris dan bahasa ibunda. Kepincangan yang ada dalam sistem pendidikan Singapura ialah para penuntut sukar diberi peluang untuk mempelajari bahasa ketiga.  Pelaung untuk mempelajari bahasa ketiga hanya diberikan kepada segelintir penuntut yang dianggap cerdik.  Dengan berbekalkan bahasa Inggeris di pengajian Melayu, pengkaji tersekat untuk membaca sumber-sumber Inggeris apabila membuat kajian. Jika mahu meneliti sumber daripada Belanda, mungkin dia terpaksa bergantung besar kepada pengalih bahasa yang profesional.  Walaupun ada sumber-sumber sejarah yang direkod dalam bahasa Melayu, ia masih berbentuk dalam tulisan jawi. Salah satu contoh kajian yang melibatkan bahasa Belanda dan jawi ialah kajian mengenai Surat-surat Raja Ali haji kepada Von de Wall. Penyalinan surat-surat ini yang berada dalam tulisan jawi dan bahasa Belanda kepada bahasa Melayu rumi telah dihasilkan oleh Profesor Madya Jan van der Putten.

Kesimpulannya

Penguasaan dwibahasa sememangnya boleh mendatang faedah kepada kita.  Dengan mengetahui banyak bahasa, seseorang itu boleh menimbah ilmu daripada budaya dan kepercayaan masyarakat lain.  

Isnin, 31 Disember 2012

Curang

Persatuan Bahasa Melayu Universiti Kebangsaan Singapura (PBMUKS)
Akudeta Edisi Disember 2012

“Pembelot!” jerit Suhaila lalu menampar muka Hamdan tanpa belas kasihan.

            Hamdan hanya berdiam diri seketika. Dia berada dalam dilema. Belum sempat Hamdan mengatakan sesuatu, mukanya ditampar lagi. Dengan gegas, Suhaila mencapai beg tangannya dan keluar dari restoran Manhattan Fish Market  yang terletak di Plaza Singapura. Pelangan yang berada di situ semua melihat ke arah Hamdan. Pengurus restoran yang berbaju hitam dan memakai tali leher merah itu sedang berbisik-bisik kepada penolongnya. Udang goreng, ikan goreng dan kentang goreng semuanya bertabur di atas lantai. Sia-sia sahaja beli Manhattan Flaming Seafood Platter yang berharga $39.95. Azura terpaku seketika. Dia berkata-kata di dalam hati. Siapa perempuan yang membawa beg tangan Gucci yang hijau gelap itu? Kenapa dia menampar muka Hamdan?

            Suhaila terus masuk ke dalam tandas dan menangis bagaikan budak kecil berumur tiga tahun. Dia tidak sangka Hamdan adalah seorang suami yang curang. Dalam keadaan sedih, dia terkenang peristiwa yang berlaku setahun yang lalu. Dia hampir-hampir memutuskan tali persahabatannya dengan Julia. Pada ketika itu, dia tidak percaya dengan kata-kata Julia.

            “Engkau jangan berbohong.. Aku tahu engkau cemburu. Hamdan yang melamar aku lapan tahun dahulu. Sekarang hidup aku senang dan bahagia. Aku tinggal selesa di kondominium Pebble Bay. Aku sudah mempunyai anak yang berusia enam tahun. Apa yang engkau tidak puas hati dengan aku?” kata Suhaila dengan nada yang agak tinggi sambil melihat permandangan indah dari balkoni rumahnya.

            “Su, percayalah kata-kata aku. Aku selalu ternampak Hamdan bersama seorang wanita di Marina Bay Sands. Mereka bergurau mesra dan sering kali berpimpin tangan,” jawab Julia.

            “Aku masih tidak percaya,” teriak Suhaila.

            Julia menarik nafasnya perlahan-lahan. Dia tenung seketika stadium nasional yang separuh siap. Stadium nasional yang lama telah dirobohkan pada tahun 2010. Di tapak yang sama juga stadium nasional yang baru akan siap dibina pada tahun 2014. Julia berasa sedih dan resah ketika melihat stadium yang separuh siap itu. Membina sebuah mahligai impian diibaratkan membina sebuah stadium yang megah. Proses pembinaan itu mengambil masa yang panjang dan perancangan yang teliti. Julai sedar bahawa rumah tangganya sudah musnah. Dia tidak sangka lelaki yang dia kahwini itu merupakan seorang yang panas baran. Hampir tiap-tiap hari dia dipukul oleh suaminya. Mujurlah, perkara ini dapat dibicarakan dalam mahkamah syariah. Kini, dia hidup sebagai seorang janda. Dia tahu Suhaila agak sukar untuk mempercayai dengan kata-katanya terhadap Hamdan. Sepuluh tahun yang lalu, Julia dan Hamdan merupakan sepasang kekasih. Hamdan memilih Suhaila kerana Hamdan mahu membina masa depan yang lebih cerah. Bapa Suhaila merupakan seorang hartawan.

            “Su, lihat gambar ini,” kata Julia dengan gugup.

            Suhaila melihat gambar di facebook Julia melalui iphone. Dia tenung lama-lama gambar itu dengan jarak dekat. Apa yang dia lihat ialah suaminya, Hamdan sedang bermesraan dengan seorang wanita yang tidak dikenali. Hati Suhaila mula timbul rasa sangsi terhadap suaminya. Dia mula berfikir tentang suaminya. Dengan segera dia menelefon pejabat Hamdan. Namun, suaminya tidak menjawab panggilan itu. Perasaan curiganya terhadap Hamdan semakin membara. Dia menelefon suaminya sekali lagi. Usahanya sia-sia sahaja. Hamdan masih lagi tidak menjawap panggilan telefon itu. Kali ini, dia menekan nombor telefon bimbit Hamdan.

            “Helo,” jawap Hamdan.

            “Helo. Abang di mana? Sudah dua kali Su melefon abang. Abang tidak menjawap panggilan, Su. Selalunya abang menjawap panggilan telefon di pejabat,” kata Suhaila dengan nada yang agak cemas.

            “Abang sedang makan tengah hari. Selalunya Su telefon selepas pukul dua petang. Abang sudah ada di pejabat. Su, ada perkara penting yang mahu memberitahu abang?” tanya Hamdan dengan tenang.

            Suhaila lihat jam tangan berjema Guess. Jam tangannya menunjukkan jam dua belas tengah hari. Sebaik sahaja Hamdan tidak menjawap panggilan telefon tadi, dia sudah mula ada perasaan syak wasangka terhadap Hamdan. Hatinya yang cemas mula redah.

            “Tidak ada apa-apa, bang. Cuma hendak bertanya khabar sahaja. Jangan lupa malam ini. Kita akan ke Marina Square untuk membeli barangan keperluan sekolah Hasyim. Tahun hadapan, Hasyim akan pergi ke sekolah rendah,” kata Suhaila.

            “Okay, Su. Jangan bimbang. Tunggu di tempat biasa. Pukul enam petang nanti abang akan datang untuk membawa Su dan Hasyim ke Marina Square. Jumpa lagi,” kata Hamdan.

            Hamdan mematikan telefon bimbitnya dengan segera. Azura menyepit beberapa potongan daging ayam teriyaki yang sudah masak dan meletakkannya di atas pinggan Hamdan. Kemudian, Azura meletakkan beberapa potongan daging ayam kari mentah di atas tempat bakar untuk dimasak. Mereka sedang berada di Seoul Garden yang teletak di Bugis Junction.

            “Siapa yang telefon tadi, bang,” tanya Azura lalu mengupas kulit udang yang baru sahaja direbus.

            Hamdan tidak menjawab. Belum sempat dia menjawab, Azura telah bertanya soalan lagi.

            “Teman wanita?” tanya Azura dengan lirik matanya yang tajam.

            Hamdan masih berdiam.

            Suhaila duduk sebentar di atas sofa. Dia masih tidak puas hati. Dia sudah mula rasa dirinya telah dicabar. Dia sudah mula rasa bahawa Hamdan telah berlaku curang. Banyak soalan yang sedang bermain-main dalam fikirannya. Soalan-soalan ini akhir terjawap apabila dia melihat sendiri, Hamdan sedang bermesraan dengan seorang wanita di restoran Manhanttan Fish Market.  Sedang Suhaila berada di dalam tandas untuk mengenangkan diri, Azura mula bertengkar dengan Hamdan.

            “Hamdan, siapa perempuan itu? Pasti ada sebab mengapa wanita itu menamparmu,” tanya Azura dengan nada yang agak tinggi.

            “Sebenarnya, Su . . . Eh, Azura, dia adalah isteri abang,” jawap Hamdan dengan suara yang mula tersekat-sekat.

            “Apa?! Dia isteri kau?” teriak Azura. Tanpa rasa belas kasihan, Azura menampar muka Hamdan. Semua orang di dalam restoran itu terperanjat. Sepasang suami isteri telah meninggalkan restoran itu kerana pertengkaran itu telah mengganggu ketenteraman mereka yang sedang makan.

            “Sanggup engkau menipu aku. Engkau telah mengaku bujang. Sekarang engkau sudah lukakan hati seorang wanita. Engkau sudah berlaku curang. Sekarang, bagaimana aku mahu percaya yang engkau boleh jadi suami yang baik jika kau telah berlaku curang terhadap isteri engkau sendiri?” kata Azura.

            “Azura, kita boleh berbincang mengenai perkara ini. Kau masih boleh jadi isteri aku yang kedua. Dalam syariah Islam, lelaki boleh kahwin empat,” kata Hamdan.

            “Hamdan, aku kenal engkau sejak di bangku sekolah. Kau seorang yang pemalu dan penakut. Kau seringkali dibuli oleh rakan-rakan sekolah. Dengan badan kau yang gemuk, engkau seringkali diejek dengan gelaran humpty-dumpty. Terus terang aku katakan kepada engkau. Sejak kita bertemu di facebook, cintaku terhadapmu mula berputik. Kini engkau sudah menjadi seorang yang tampan. Engkau sudah berjaya. Kini engkau adalah Pegawai Ketua Eksekutif sebuah firma pembinaan di Singapura. Aku masih ingat lagi setahun yang lalu. Muka engkau terpampar dalam Berita Harian. Engkau mendapat anugerah Usahawan Harapan 2010. Sejak hari itu aku cuba mencari engkau di facebook. Tanpa kau sedari, tiap-tiap hari aku akan melungsuri ke lelaman facebook wall engkau untuk mengikuti setiap gerak-gerimu. Hari ini baru aku sedar bahawa maklumat yang aku dapat daripada facebook mengenai diri engkau adalah tidak benar. Selama ini aku sangkakan yang engkau masih bujang. Rupa-rupanya kau sudah beristeri,” suara Azura menyepi.

            “Baiklah, Hamdan. Mulai hari ini kita tidak ada hubungan lagi. Selamat tinggal!” kata Azura dengan suara sedih berperisa amarah.

Azura terus keluar daripada restoran itu. Hamdan terduduk seketika. Hamdan berasa resah. Pertengkaran di dalam restoran di antara Hamdan dan Azura telah menjadi perhatian utama bagi pelanggan-pelanggan yang masih menikmati juadah mereka. Dia lihat seorang kaki tangan restoran sedang membersihkan sisa-sisa makanan yang telah jatuh ke atas lantai. Tiba-tiba, ada suara budak kecil.

            “Ayah, lelaki yang ditampar tadi, pernah memang anugerah, kan? Tidak silap Shireen, laporan itu pernah disiarkan di Berita Harian.” tanya budak perempuan yang dalam usia belasan tahun.

            “Shh . . . Jangan cakap kuat-kuat,” tegar ayahnya sambil menyuap sekeping udang goreng ke mulutnya.

Sabtu, 22 Disember 2012

Hero Dalam Imaginasi Sejarah: Kajian Kritis dalam Duka Tuan Bertakhta karya Isa Kamari

William Farquhar, Residen Pertama Singapura

Novel Duka Tuan Bertakhta karya Isa Kamari

Penjajah Diangkat Sebagai Hero Masyarat Melayu: Kajian Kritis dalam Duka Tuan Bertakhta karya Isa Kamari

Muhammad Farid bin Mohd
Persatuan Bahasa Melayu Universiti Kebangsaan Singapura (PBMUKS)
Akudeta Edisi Disember 2012

ABSTRAK: Novel Duka Tuan Bertakhta pernah dianggap sebagai sebuah novel sejarah oleh beberapa pihak. Perkara ini juga pernah diakui oleh penulis itu sendiri bahawa beliau berhasrat untuk menulis sebuah sejarah alternatif melalui wadah sastera. Walaupun kekuatan novel ini terletak pada kesedaran sejarah kepada masyarakat umum, pengarang akhirnya mengangkat Farquhar sebagai hero dalam novel tersebut. Novel yang dianggap sebagai novel pasca kolonial ini telah mengejutkan beberapa pembaca mengenai pemilihan hero dalam sejarah imaginasi pengarang. Tujuan kertas ini ialah untuk mengkaji 1) sejauh mana penulis kritikal terhadap sejarah dominan Singapura dan 2) mengapa Farquhar dianggap sebagai wira masyarakat Melayu di Singapura pada kurun kesembilanbelas dan bukan Munsyi Abdullah, Raffles, Crawfurd, Wak Cantuk dan Habib Nuh.

            Sebelum membuat kesimpulan mengenai novel Duka Tuan Bertakhta (diringkaskan Duka Tuan), terlebih dahulu, kita harus mengapresiasi novel ini sebagai sebuah karya sastera bukan sebuah kajian sejarah. Sejarawan akan berasa hampa jika dia menganalisa novel tersebut sebagai sebuah kajian sejarah. Isa Kamari tidak menemukan kajian baru dalam Duka Tuan. Karya beliau adalah hasil pembacaan beliau melalui buku-buku sejarah dan hikayat lama. Beliau hanya melahirkan pandangannya mengenai pembukaan Singapura pada tahun 1819 melalui wadah sastera. Oleh itu, karya Duka Tuan adalah respons beliau terhadap peristiwa itu menerusi apa yang dia baca sejauh ini. Sebagai permulaan, saya akan memberi sedikit maklumat mengenai konteks sejarah dominan Singapura pada hari ini.
           
            Seringkali kita renung mengenai sejarah Singapura, kita akan tertanya-tanya pada diri kita siapakah pengasas Singapura. Berdasarkan buku teks sejarah menengah dua, Raffles telah diangkat sebagai pengasas Singapura. Pada masa yang sama, William Farquhar dan John Crawfurd juga ikhtirafkan sebagai tokoh-tokoh sejarah Singapura yang telah menyumbang kepada pembangunan Singapura sejak tahun 1819. Penjelasan bagaimana Syarikat India Timur Inggeris (British EIC) mendapat seluruh pulau Singapura tidak jelas. Berdasarkan penceritaan melalui buku teks sekolah sejarah, Sultan Hussein dan Temenggong Abdul Rahman seolah-olah telah terpengaruh dengan ganjaran yang lumayan daripada EIC sekiranya mereka menyerahkan hal pentadbiran Singapura secara mutlak kepada EIC. Seringkali kepemimpinan Sultan Hussein dan Temenggong Abdul Rahman dianggap sebagai punca kejatuhan pulau Singapura ke tangan penjajah. Novel Duka Tuan karya Isa Kamari tidak sedikit pun memberi pandangan alternatif mengenai pembukaan Singapura pada tahun 1819.

            Di dalam Duka Tuan, Sultan Hussein dan Temenggong Abdul Rahman dilukiskan sebagai pemimpin Melayu yang lemah. Misalnya, ketika kedua-dua pemimpin ini menandatangani perjanjian pada tahun 1824, mereka berada dalam keadaan mabuk disebabkan candu. Duka Tuan telah melukiskan satu gambaran bahawa Sultan Hussein dan Temenggong Abdul Rahman mudah leka setelah mendapat ganjaran lumayan dari EIC. Trocki, dalam bukunya Prince of Pirates: The Temenggongs and the Development of johor and Singapore 1784-1885, Sultan Hussein dan Temenggong Abdul Rahman telah dipaksa untuk menandatangani perjanjian 1824. Pandangan ini juga serupa dengan pendapat Kwa Chong Guan, di dalam artikelnya, From Temasek to Singapore: Locating a Global City-State in the Cycles of Melaka Straits History. Perjanjian 1819 yang dimeterai oleh Raffles, Sultan Hussein dan Temenggong Abdul Rahman tidak diikhtirafkan oleh EIC. Oleh itu, John Crawfurd menuntut mengembalikan duit papasan yang telah termaktub dalam perjanjian itu. Memandangkan Sultan Hussein dan Temenggong Abdul Rahman tidak dapat melunaskan duit itu, mereka terpaksa menandatangani perjanjian dengan EIC pada tahun 1824.

            Duka Tuan ingin menegaskan bahawa Raffles adalah seorang penjajah. Di Dalam Duka Tuan, Raffles digambarkan seorang yang anti-Islam. Beliau bertanggungjawab dalam pembunuhan beramai-ramai di Palembang. Peristiwa kapal pelayaran ke Batavia telah dirancang oleh Raffles. Beliau juga terlibat dalam perdagangan hamba secara haram. Berdasarkan penceritaan Duka Tuan, pengarang dipercayai telah merujuk kepada beberapa buku rujukan seperti Thomas Stamford Raffles, 1781-1826, schemer or reformer?, oleh Syed Hussein Alatas dan Raffles and religion: a study of Sir Thomas Stamford Raffles' discourse on religions amongst Malays oleh Syed Khairudin Aljunied. Disebalik memburuk-buruk Raffles sebagai seorang yang buta hati, novel Duka Tuan mengetengahkan pendapat bahawa Farquhar adalah pengasas Singapura yang sebenar. Farquhar yang terlebih dahulu yang menemukan Singapura melalui ilmu pengetahuan beliau. Kemudian, Farquhar telah diketepikan oleh Raffles kerana Farquhar dianggap sebagai seorang Residen yang lemah. Farquhar dituduh oleh Raffles sebagai pemimpin yang mengutamakan rakyat daripada kepentingan EIC.

            Sebenarnya, pemilihan pengasas Singapura telah dibahaskan dalam buku teks sejarah sekolah. Berdasarkan buku teks sekolah, ada tiga calon berpotensi untuk diangkat sebagai pengasas Singapura. Ketiga-tiga calon ialah Stamford Raffles, William Farquhar dan John Crawfurd. Memang secara rasmi, Raffles diangkat sebagai pengasas Singapura. Namun begitu, dengan adanya dua calon lain yang masih boleh dibahaskan sama ada mereka harus diikhtirafkan sebagai pengasas Singapura bersama Raffles, sejarah dominan Singapura masih memilih pegawai kolonial sebagai pengasas Singapura. Dalam Duka Tuan, pengarang tidak membidas kenyataan ini. Malah, Farquhar, seorang penjajah telah diangkat sebagai wira orang Melayu.

            Menerusi Munsyi Abdullah, pengarang telah menganalisa punca mengenai kemunduran masyarakat Melayu setelah kedatangan Raffles seperti berikut: 1) “Raja yang bertakhta telah dicengkam nafsu lalu menindas rakyat dengan sewenang-wenangnya.” (Duka Tuan Bertakhta, hlm 475), 2) “Agama Islam yang dianuti rakyat jelata hanya tertumpu pada soal-soal kerohanian dan ibadat khusus tanpa imbangan yang setimpal dalam soal-soal muamalat, pemerintahan dan pentadbiran negara.” (Duku Tuan Bertakhta, hlm 476) dan 3) “Fikiran orang Melayu adalah tertutup dalam banyak hal, terutama dalam penimbaan dan penerokaan ilmu duniawi dan ukhrawi.” (Duka Tuan Bertakhta, hlm 476). Oleh itu, menerusi Munsyi Abdullah, pengarang meletakkan ciri-ciri calon pemimpin Melayu seperti berikut:

“Semua ini tidak akan terjadi jika terdapat pemimpin yang berwawasan dan berwibawa daripada kalangan orang Melayu. Jadi siapakah yang layak memimpin orang Melayu di Singapura, khususnya? Calon tersebut harus bijak, berilmu, mempunyai kebolehan mengesan kelemanan mereka dan berupaya belajar daripada orang lain untuk menawarkan jalan keluar terhadap masalah yang dihadapi rakyat. Dia juga harus mampu berfikir secara tenang, kritis dan berpandangan jauh. Yang utama dia harus mempunyai semangat untuk mencetuskan perubahan dasar pada cara orang Melayu berfikir agar dapat menuju ke arah pembangunan dan kemakmuran hidup. Ibarat pepatah Melayu, belajar bernakhoda, berjalan dengan yang tahu, berkata dengan yang pandai.” (Duka Tuan Bertakhta, hlm 477).

            Berdasarkan ciri-ciri ini, watak yang sesuai dipadankan dalam Duka Tuan ialah Farquhar. Mengapakah Farquhar, seorang penjajah, diangkat sebagai calon yang baik untuk memimpin masyarakat Melayu? Berdasarkan Duka Tuan, Farquhar mampu mencetuskan perubahan dasar pada cara orang Melayu berfikir agar dapat menuju ke arah pembangunan dan kemakmuran hidup. Apabila Farquhar membuka penempatan di Kampung Glam, beliau mengarahkan orang untuk membunuh lipan dan tikus. Setiap pembunuhan tikus dan lipan akan mendapat ganjaran bentuk wang. Melalui cara ini, Farquhar telah memperkenalkan nilai-nilai kapitalis yang memberi ganjaran kepada setipa kerja yang dilakukan. Dengan cara ini juga, ramai orang Melayu mula sedar bahawa cara ini adalah lebih adil daripada cara-cara yang dikendalikan oleh kerajaan Melayu yang mengerah rakyatnya untuk membina sesuatu tanpa memberi ganjaran. Perubahan cara pemikiran orang Melayu mula disedari menerusi watak Ramli, Sudin dan Ajis. Farquhar juga telah berjanji dengan Habib Nuh bahawa beliau akan memberi sebuah tanah untuk mendirikan sekolah untuk kanak-kanak Melayu di Singapura. Beliau juga berhati rakyat dan dekat dengan cara hidup orang Melayu/Islam. Ciri-ciri demikian tidak ada dalam watak Habib Nuh, Wak Cantuk, Raffles, Crawfurd, Munsyi Abdullah, Sultan Hussein dan Temenggong Abdul Rahman.

            Menerusi Munsyi Abdullah juga, pengarang mengkritik ciri-ciri kepemimpinan yang ditampilkan oleh Habib Nuh dan Wak Cantuk. Kritikan watak Wak Cantuk adalah seperti berikut: “Memang dia sangat handal dan mempunyai ramai pengikut. Memang ramai yang takut kepadanya. Namun dia juga dikenali sebagai pendeka yang mempunyai telinga nipis. Dia mudah bertindak mengikut perasaan marah dan dendam. Semangat dan perjuangan Wak Cantuk pula tertumpu kepada kehandalan dan kesakitan perguruan silatnya sahaja dan tidak dijuruskan secara ikhlas dan murni kepada kemaslahatan hidup rakyat jelata. Impiannya untuk menentang penjajah, lantas membela nasib orang Melayu tidak terhasil kerana peracangannya tidak teratur dan sering dipesongkan pertelingkahan dalaman dengan pendekarnya sendiri.” (Duka Tuan Bertakhta, hlm 474-5).

            Kritikan terhadap watak Habib Nuh adalah seperti berikut: “Memang ramai orang Melayu sangat menghormati Habib Nuh yang dianggap wali. Memang dia juga sangat alim dan baik hati. Namun Munsyi Abdullah berasakan Habib Nuh tidak berpengaruh atas pentadbiran dan urusan pemerintahan pulau itu. Kepentingannya sekadar tertumpu pada urusan kerohanian dan upacara agama. Malah pentadbiran British menganggapnya kurang siuman dan selalu berbuat kacau. Habib Nuh berperanan sebagai pelindung akidah dan syariat Islam, tetapi tidak berkeupayaan merubah cara hidup orang Melayu agar terlepas daripada penindasan dan penderitaan yang terbit daripada daripada keborokan istana. Dia juga tidak berupaya menyiapkan orang Melayu dengan ilmu yang membolehkan mereka berhadapan dengan cabaran hidup yang dibawa British secara berkesan.” (Duka Tuan Bertakhta, hlm 474).

            Sungguh ironis apabila watak Habib Nuh dan Wak Cantuk yang dianggap sebagai hero dalam novel Duka Tuan dikritik oleh pengarang itu sendiri melalui watak Munsyi Abdullah. Malah, watak Munsyi Abdullah itu sendiri telah digambarkan sebagai seorang intelektual Melayu pada abad kesembilan belas yang telah ditipu oleh Raffles dan Farquhar. Berdasarkan Duka Tuan, EIC dan London Missionaries Society telah mempergunakan Munsyi Abdullah untuk menterjemahkan kitab Injil ke bahasa Melayu dengan tujuan untuk menyebar agama Kristian dalam masyarakat Melayu. Hadijah Rahmat, dalam bukunya, Antara dua kota: menjejaki kesan-kesan peninggalan sejarah Munsyi Abdullah di Melaka dan Singapura, mengangkat Abdullah Munsyi sebagai bapa kesusasteraan Melayu. Difahamkan Abdullah Munsyi adalah seorang penulis yang kontroversi. Namun demikian, pengarang melihat Abdullah Munsyi sebagai tali barut Inggeris.

            Berdasarkan Duka Tuan, hero masyarakat Melayu adalah Farquhar, seorang penjajah. Malah, beliau adalah seorang orientalis. Farquhar, di dalam Duka Tuan, mempunyai prinsip yang berorientasikan kapitalisme. Dengan prinsip yang berorientasikan kapitalisme, seseorang itu sukar untuk melihat faktor-faktor lain yang menyebabkan kemunduran orang Melayu. Kemunduran orang Melayu seringkali disebabkan masalah pemikiran dan ketadusan budaya. Duka Tuan, melatarbelakangkan sejarah penjajahan Inggeris mula bertapak di Tanah Melayu. Berdasarkan kajian Syed Hussein Alatas, dalam bukunya, Mitos Peribumi Malas, beliau telah mengatakan bahawa penjajah Inggeris sengaja mengetepikan peribumi dalam kegiatan ekonomi. Idea dominan mengenai peribumi malas tidak disangkal dalam Duka Tuan. Malah, Duka Tuan, menguatkan lagi stereotaip negatif terhadapa orang Melayu dengan menggambarkan Sultan Hussein dan Temenggong Abdul Rahman yang menyerahkan kedaulatan Singapura kepada penjajah setelah mendapat wang pampasan yang lumayan, melukiskan seorang intektual Melayu, Munsyi Abdullah yang dipergunakan penjajah, mengkritik Habib Nuh, seorang yang dianggap “nabi” Melayu yang hanya memainkan peranan penting dalam upacara keagamaan dan mengetengahkan pendapat bahawa Wak Cantuk, seorang wira roman sejarah di Singapura, gagal untuk menentang Inggeris kerana tidak cekap dan panas baran. Tambahan pula, Farquhar, seorang penjajah, dilihat sebagai pemimpin terbaik untuk orang Melayu di Singapura. Apabila Farquhar harus meninggalkan Singapura, ramai orang Islam menunggu di perlabuhan untuk mengucapkan selamat tinggal kepada beliau.

            Sebagai akhirul kalam, persoalan-pesoalan Duka Tuan yang dianggap ramai sebagai satu percubaan untuk memberi suara alternatif mengenai sejarah pembukaan Singapura sebenarnya masih lagi terikat daripada sejarah dominan. Dengan kritikan perwatakan Raffles yang lantang, memang tidak dapat dinafikan bahwa ramai pembaca akan berpendapat bahawa Duka Tuan telah memberi suara alternatif kepada sejarah Singapura. Namun begitu, Duka Tuan telah mengangkat Farquhar, yang juga seorang penjajah seperti Raffles dan Crawfurd, sebagai hero orang Melayu di Singapura pada kurun kesembilan belas.

Khamis, 15 November 2012

Cahaya cita di Chamber The Arts House (13 November 2012)

Sesi CITA ketujuh pada kali ini disajikan dengan sebuah sketsa yang mengisahkan dua tokoh sejarah yang hasil penulisan dan ideanya semakin terpinggir oleh masyarakat kita. Tokoh sejarah tersebut ialah Abdullah Munsyi dan Raden Adjeng Kartini. Sketsa yang berlangsung lima belas minit ini telah mengupas dan menyingkap perasaan dan resahan hati kedua-dua tokoh sejarah ini dalam mengharungi cabaran masyarakatnya semasa kedatangan penjajah Inggeris dan Belanda pada awal kurun kesembilanbelas. Sketsa ini diikuti dengan pembentangan ilmiah oleh Profesor Madya Hadijah Rahmat dari Jabatan Bahasa dan Budaya Melayu di Institut Pendidikan Nasional (NTU/NIE).

Prof Hadijah Rahmat menyifatkan kehadiran Abdullah Munsyi pada kurun kesembilan belas sebagai kunang-kunang yang memberi cahaya dalam gelap langit penjajah. Secara am sejarah Singapura pada kurun kesembilan belas dianggap gelap kerana pada ketika itulah masyarakat Melayu mula hilang kuasa di Singapura. Namun begitu, tidak ramai yang tahu mengenai karya yang pernah dihasilkan oleh Abdullah Munsyi, seorang intelektual pada kurun kesembilan belas. Peranannya dalam dunia persuratan Melayu amat menyerlah. Beliau diakui oleh ramai pegawai-pegawai kolonial sebagai perintis sastera Melayu moden. H. C. Klinkert menggelarkan beliau van peeren merkwaardige man (remarkable man). Skinner menggelar beliau sebagai “Father of Modern Malay Literature.” Peranan beliau dalam dunia persuratan Melayu cukup besar. Beliau belajar teknologi percetakan daripada paderi yang bertugas di London Missionary of Society, mengajar paderi-paderi dan pegawai kolonial bahasa Melayu dan mengkritik ketidakadilan sosial melalui karyanya. Tokoh seterusnya yang dibincangkan dalam pembentangan ilmiah ialah Raden Adjeng Kartini. Beliau telah diangkat oleh Presiden Sukarno sebagai wira Negara Bangsa Indonesia. Pramoedya menyifatkan Kartini sebagai “obor yang menerangkan bangsanya.” Kartini, menerusi surat-suratnya yang dihantar kepada sahabat penanya, Stella, meluahkan perasaan kemarahan dan kehampaan terhadap masyarakatnya. Sebagai permaisuri keturunan raja, beliau tidak mempunyai kebebasan. Setelah umurnya meningkat dua belas tahun, beliau tidak dibenarkan keluar daripada perkarangan rumahnya. Namun begitu, beliau disajikan dengan buku-buku yang telah dibawa masuk oleh abang dan bapanya. Beliau menentang keras hal poligami dan perkahwinan yang telah ditetapkan oleh ibu bapa. Namun, beliau diberi peluang untuk membuka sebuah sekolah untuk pelajar-pelajar perempuan. Kajian perbandingan kedua-dua tokoh sejarah ini masih belum lagi kukuh. Pembentangan ilmiah ini telah memberi jalan untuk sesiapa sahaja yang berminat untuk membuat kajian secara terperinci mengenai kedua-dua tokoh.

Di dalam sesi KOMENTARI, Mohamed Imran Taib, seorang pelajar pasca siswazah di Jabatan Pengajian Melayu telah membentangkan kajian ilmiah mengenai sebuah novel yang bertajuk Atheis oleh Achdiat K. Mihardja. Di dalam novel tersebut, Achdiat telah mengetengahkan beberapa perutusan seperti agama sebagai rasa penghibur, ketaatan agama melalui ancaman dan ketakutan penyeksaan neraka, amalan agama sebagai tabiat, kebanggaan dalam ketaatan agama dan penegasan dogmatik, menghasilkan sikap tidak berbelah bagi. Analisa Mohamed Imran Taib juga merangkumi perbincangan mengenai kegagalan tradisionalisme dalam membetuk keperibadian seseorang. Tradisionalisme dalam agama boleh membuat seseorang itu rasa kekurangan kerana pendidikan tertutup, melahirkan rasa tidak aman, keraguan dan perasaan rendah diri, penilaian diri bergantung kepada penerimaan orang lain dan ketidakupayaan untuk berurusan dengan diri sendiri.

Kemudian acara ini disudahi dengan sesi ASTAKA. Sesi ASTAKA pada kali ini menguji kepetahan para pelajar dari sekolah menengah. Para pelajar telah digalak untuk mendeklamasikan sajak, menjual beli pantun dan bercakap petah mengenai isu-isu semasa. Pelajar juga telah diajar untuk menari ikut tarian tradisional Melayu. Sesi ketujuh CITA: SASTERA DAN SENI ini diakhiri dengan penabalan ADI BUDAYA. Pencalonan untuk anugerah ini adalah berdasarkan kepetahan peserta dalam menyertai acara tersebut. Acara CITA: SASTERA DAN SENI ini akan terus berlangsung pada tahun 2013.