Pada tanggal 28 November 2011, mantan Perdana Menteri Singapura, Encik Lee
Kuan Yew telah melancarkan buku terkininya yang berjudul My Lifelong Challenge: Singapore’s Bilingual Journey (Cabaran Sepanjang
hayat Saya: Perjalanan Dwibahasa Singapura).
Menurut beliau dasar-dasar dwibahasa ini merupakan salah satu tunggak
asas kemajuan Singapura. Mengapa Encik Lee menekankan rakyatnya untuk menguasai
dwibahasa? Adakah penekanan ini merupakan satu initiatif baru?
Orientalis dalam pengajian
Melayu
Sebenarnya, penekanan untuk menguasai dua bahasa ini telah lama
diketengahkan oleh Abdullah bin Abdul Kadir Munsyi seawal abad kesembilanbelas.
Kesedarannya mengenai pentingnya orang Melayu menguasai dua bahasa tercetus
apabila dia mula terkesan dengan kegigihan dan ketaksuban orang Inggeris mahu
mempelajari bahasa Melayu. Pegawai daripada
Syarikat Hindia Timur (EIC) yang merantau di kepulauan Melayu ini mempunyai
muslihat tersendiri. Mereka datang ke kepulauan Melayu ini bukan sekadar untuk
berniaga. Mereka datang ke sini dengan corak pemikiran bahawa budaya dan
tamadun barat lebih mulia daripada tamadun yang sudah dikecapi oleh bangsa
timur. Salah satu cara untuk memperkecilkan sejarah dan kesusasteraan Melayu
ialah menjajah minda. Penjajahan minda ini telah dilakukan dengan cara mengawal
ilmu. Penjajahan minda ini dilakukan oleh orang Inggeris dengan satu cara yang
mudah. Mereka mempelajari bahasa Melayu. Dengan mempelajari bahasa Melayu,
mereka dapat mengkaji mengenai budaya dan sastera Melayu. Oleh kerana masyarakat Melayu pada masa itu tidak
tahu membaca dan menulis, banyak ilmu
yang terkandung dalam hikayat-hikayat Melayu lama telah diperolehi oleh
penjajah Inggeris terlebih dahulu. Kemudian, ilmu yang diperolehi oleh penjajah
Inggeris ini telah dikembalikan kepada orang Melayu dengan mengikut citarasa
orang Inggeris.
Salah satu contoh bagaimana penjajah Inggeris mengembalikan ilmu kepada
orang Melayu ialah penglibatan mereka dalam mengalih bahasakan hikayat Sulalatus
Salatin. Sulalatus Salatin membawa
maksud salasilah sultan-sultan atau peraturan segara raja-raja. Leyden dan
Raffles adalah merupakan segelintir pengkaji Timur yang berawal untuk mengalih
bahasa Sulalatus Salatin kepada bahasa Inggeris. Mereka menamakan Sulalatus
Salatin sebagai Sejarah Melayu (Malay
Annals). Kemudian Hikayat Sejarah
Melayu ini telah dijadikan sebuah buku garis pandu kepada setiap pegawai
Inggeris yang dihantar ke tanah Melayu yang berkhidmat untuk memahami budaya
dan nilai hidup orang Melayu. Sebenarnya Raffles bukanlah sebijak yang
disangkakan oleh rakyat Singapura yang kononnya dialah satu-satunya manusia
yang sedar mengenai lokasi strategik Singapura. Raffles pada awal lagi sudah
mengetahui lokasi strategik Singapura setelah membaca Sulalatus Salatin. Beliau tahu Singapura pada satu ketika dahulu
pernah menjadi sebuah perlabuhan termahsyur. Tidak mustahil Singapura akan
menjadi sebuah perlabuhan yang termahsyur sekali lagi pada kurun
kesembilanbelas.
Kita dapat melihat bagaimana penguasaan dwibahasa oleh penjajah Inggeris
boleh meletakkan martabat orang Melayu ketahap yang rendah. Salah satu daripada
cenderiakawan terkenal dalam pengajian Melayu ialah R. O. Windstedt. Beliau
telah banyak menulis buku sejarah mengenai dunia Melau. Di antara buku-buku
yang pernah dihasilkan oleh beliau ialah A
History of Johore: 1365-1941, A History of Perak, Hikayat Bayan Budiman dan
Hikayat Malim Dewa. Walaupun R. O. Windstedt telah banyak menghasilkan
buku-buku sejarah dan merumikan hikayat-hikayat lama, beliau mempunyai tanggap
yang negatif terhadap sastera Melayu. Pada pendapat beliau, kesusasteraan
Melayu tidak asli dan bercampur aduk dengan pengaruh Hindu dan Islam. Malah,
kesusasteraan Melayu telah dianggapnya sebagai tidak objektif dan penuh dengan
khayalan mintos dan cerita dongeng.
Pendapat R.O. Windsted ini bukanlah perkara asing. Pendapat beliau selari
dengan pengkaji timur yang lain seperti Raffles, Crawfurd, Wilkinson,
Swettenham dan Maxwell yang mempunyai pemikiran bercorak Orientalism. Orientalism merupakan
satu konsep sosiologi yang dicipta oleh cenderikiawan Kristian Palestin, Edward
Said. Berdasarkan konsep yang dicipta oleh beliau, Orientalism ini merupakan sebuah corak pemikiran sesebuah pengkaji
yang mencipta dikotomi Barat-Timur. Pada
masa yang sama hasil kajian mereka seringkali memperlekekkan budaya Timur
dengan berpendapat bahawa budaya barat itu lebih mulia.
Perkembangan Dasar-dasar
bahasa di negeri-negeri Melayu pada kurun kesembilanbelas
Abdullah Munsyi mempunyai cita-cita tinggi untuk masyarakatnya. Seawal
kurun kesembilanbelas, beliau sudah lihat betapa pentingnya menguasai
dwibahasa. Di dalam autobiografi Abdullah Munsyi, beliau pernah bekerjasama
dengan Tuan Milne dalam menghasilkan beberapa buku kira-kira yang dialih
bahasakan dalam bahasa Melayu. Namun
begitu, cita-cita tinggi beliau itu sukar dicapai kerana pada masa itu ramai di
antara masyarakat Melayu buta huruf. Orang Melayu yang celik huruf hanya
tersekat kepada golongan bangsawan. Berdasarkan maklumat-maklumat yang
terkandung di dalam Hikayat Abdullah Munsyi, orang Melayu tidak berminat untuk belajar
membaca dan menulis bahasa Melayu. Mereka hanya berminat untuk mengaji muqaddam
walaupun mereka tidak faham bahasa yang mereka baca. Usaha untuk menggalakkan orang Melayu belajar
tulis dan baca bermula dengan baiknya apabila Maharaja Abu Bakar mula membuka
negeri di Tanjung Puteri. Ibrahim Munsyi, anak kepada Abdullah Munsyi telah
dilantik menjadi Menteri Bentara Dalam. Beliau ditugaskan untuk membina sistem
persekolahan di Johor. Walaupun Johor mempunyai banyak sekolah. Melayu daripada
sekolah Inggeris, perkembangan ini sejajar dengan keadaan di Johor. Pada ketika
itu, bahasa penghantaran di Johor merupakan bahasa Melayu bukan bahasa
Inggeris. Pada masa yang sama, Ibrahim Munsyi serta pembesar-pembesar yang lain
juga turut terlibat dalam pengalihan bahasa buku Inggeris ke Melayu.
Dalam usaha kerajaan Negeri Johor untuk mendidik anak bangsanya bahasa
Melayu, sistem pendidikan di negeri-negeri melayu yang lain juga sudah bermula.
Namun negitu, visi pendidikan di Persekutuan Negeri-negeri Melayu (Federated Malay States) amat berbeza
dengan kerajaan negeri Johor. Frank Swettenham, Governor-General Persekutan Negeri-negeri Melayu, mengaku bahawa memang
tujuan penjajahan Inggeris untuk menafikan orang Melayu untuk belajar bahasa
Inggeris. Pada pendapatnya, jika orang Melayu sudah tahu berbahasa Inggeris,
mereka akan menjadi cerdik pandai dan berani menentang penjajah Inggeris. Oleh
itu, orang Melayu hanya dibenarkan untuk belajar bahasa Melayu dan penguasaan
dwibahasa ketika di dalam penjajah Inggeris amat tidak digalakkan. Penguasaan
dwibahasa hanya diberikan kepada segelintir anak Melayu yang berketurunan raja
dengan tujuan untuk dijadikan pegawai muda di dalam Malayan Civil Service.
Pengajian Melayu dan
dwibahasa
Pengajian Melayu pada hari ini berdepan dengan pelbagai cabaran. Salah satu cabaran yang dihadapi oleh
Pengajian Melayu ialah bahasa. Banyak sumber-sumber sejarah mengenai
perkembangan politik dan sosial orang Melayu berada dalam bahasa bekas bahasa
penjajah seperti bahasa Portugis, Sepanyol, Belanda dan Inggeris. Sejauh ini
Jabatan pengajian Melayu di NUS, tidak meletakkan syarat menuntut yang
mengikuti kursus pengajian Melayu untuk menguasai salah satu daripada bahasa
yang telah saya sebutkan tadi. Banyak
faedahnya jika penuntut pengajian Melayu tidak kira di universiti Malaysia,
Singapura atau Indonesia tahu lebih daripada dua bahasa selain daripada bahasa
Inggeris dan bahasa ibunda. Kepincangan yang ada dalam sistem pendidikan
Singapura ialah para penuntut sukar diberi peluang untuk mempelajari bahasa
ketiga. Pelaung untuk mempelajari bahasa
ketiga hanya diberikan kepada segelintir penuntut yang dianggap cerdik. Dengan berbekalkan bahasa Inggeris di
pengajian Melayu, pengkaji tersekat untuk membaca sumber-sumber Inggeris
apabila membuat kajian. Jika mahu meneliti sumber daripada Belanda, mungkin dia
terpaksa bergantung besar kepada pengalih bahasa yang profesional. Walaupun ada sumber-sumber sejarah yang
direkod dalam bahasa Melayu, ia masih berbentuk dalam tulisan jawi. Salah satu
contoh kajian yang melibatkan bahasa Belanda dan jawi ialah kajian mengenai
Surat-surat Raja Ali haji kepada Von de Wall. Penyalinan surat-surat ini yang
berada dalam tulisan jawi dan bahasa Belanda kepada bahasa Melayu rumi telah
dihasilkan oleh Profesor Madya Jan van der Putten.
Kesimpulannya
Penguasaan dwibahasa sememangnya boleh mendatang faedah kepada kita. Dengan mengetahui banyak bahasa, seseorang itu
boleh menimbah ilmu daripada budaya dan kepercayaan masyarakat lain.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan