Isnin, 31 Disember 2012

Curang

Persatuan Bahasa Melayu Universiti Kebangsaan Singapura (PBMUKS)
Akudeta Edisi Disember 2012

“Pembelot!” jerit Suhaila lalu menampar muka Hamdan tanpa belas kasihan.

            Hamdan hanya berdiam diri seketika. Dia berada dalam dilema. Belum sempat Hamdan mengatakan sesuatu, mukanya ditampar lagi. Dengan gegas, Suhaila mencapai beg tangannya dan keluar dari restoran Manhattan Fish Market  yang terletak di Plaza Singapura. Pelangan yang berada di situ semua melihat ke arah Hamdan. Pengurus restoran yang berbaju hitam dan memakai tali leher merah itu sedang berbisik-bisik kepada penolongnya. Udang goreng, ikan goreng dan kentang goreng semuanya bertabur di atas lantai. Sia-sia sahaja beli Manhattan Flaming Seafood Platter yang berharga $39.95. Azura terpaku seketika. Dia berkata-kata di dalam hati. Siapa perempuan yang membawa beg tangan Gucci yang hijau gelap itu? Kenapa dia menampar muka Hamdan?

            Suhaila terus masuk ke dalam tandas dan menangis bagaikan budak kecil berumur tiga tahun. Dia tidak sangka Hamdan adalah seorang suami yang curang. Dalam keadaan sedih, dia terkenang peristiwa yang berlaku setahun yang lalu. Dia hampir-hampir memutuskan tali persahabatannya dengan Julia. Pada ketika itu, dia tidak percaya dengan kata-kata Julia.

            “Engkau jangan berbohong.. Aku tahu engkau cemburu. Hamdan yang melamar aku lapan tahun dahulu. Sekarang hidup aku senang dan bahagia. Aku tinggal selesa di kondominium Pebble Bay. Aku sudah mempunyai anak yang berusia enam tahun. Apa yang engkau tidak puas hati dengan aku?” kata Suhaila dengan nada yang agak tinggi sambil melihat permandangan indah dari balkoni rumahnya.

            “Su, percayalah kata-kata aku. Aku selalu ternampak Hamdan bersama seorang wanita di Marina Bay Sands. Mereka bergurau mesra dan sering kali berpimpin tangan,” jawab Julia.

            “Aku masih tidak percaya,” teriak Suhaila.

            Julia menarik nafasnya perlahan-lahan. Dia tenung seketika stadium nasional yang separuh siap. Stadium nasional yang lama telah dirobohkan pada tahun 2010. Di tapak yang sama juga stadium nasional yang baru akan siap dibina pada tahun 2014. Julia berasa sedih dan resah ketika melihat stadium yang separuh siap itu. Membina sebuah mahligai impian diibaratkan membina sebuah stadium yang megah. Proses pembinaan itu mengambil masa yang panjang dan perancangan yang teliti. Julai sedar bahawa rumah tangganya sudah musnah. Dia tidak sangka lelaki yang dia kahwini itu merupakan seorang yang panas baran. Hampir tiap-tiap hari dia dipukul oleh suaminya. Mujurlah, perkara ini dapat dibicarakan dalam mahkamah syariah. Kini, dia hidup sebagai seorang janda. Dia tahu Suhaila agak sukar untuk mempercayai dengan kata-katanya terhadap Hamdan. Sepuluh tahun yang lalu, Julia dan Hamdan merupakan sepasang kekasih. Hamdan memilih Suhaila kerana Hamdan mahu membina masa depan yang lebih cerah. Bapa Suhaila merupakan seorang hartawan.

            “Su, lihat gambar ini,” kata Julia dengan gugup.

            Suhaila melihat gambar di facebook Julia melalui iphone. Dia tenung lama-lama gambar itu dengan jarak dekat. Apa yang dia lihat ialah suaminya, Hamdan sedang bermesraan dengan seorang wanita yang tidak dikenali. Hati Suhaila mula timbul rasa sangsi terhadap suaminya. Dia mula berfikir tentang suaminya. Dengan segera dia menelefon pejabat Hamdan. Namun, suaminya tidak menjawab panggilan itu. Perasaan curiganya terhadap Hamdan semakin membara. Dia menelefon suaminya sekali lagi. Usahanya sia-sia sahaja. Hamdan masih lagi tidak menjawap panggilan telefon itu. Kali ini, dia menekan nombor telefon bimbit Hamdan.

            “Helo,” jawap Hamdan.

            “Helo. Abang di mana? Sudah dua kali Su melefon abang. Abang tidak menjawap panggilan, Su. Selalunya abang menjawap panggilan telefon di pejabat,” kata Suhaila dengan nada yang agak cemas.

            “Abang sedang makan tengah hari. Selalunya Su telefon selepas pukul dua petang. Abang sudah ada di pejabat. Su, ada perkara penting yang mahu memberitahu abang?” tanya Hamdan dengan tenang.

            Suhaila lihat jam tangan berjema Guess. Jam tangannya menunjukkan jam dua belas tengah hari. Sebaik sahaja Hamdan tidak menjawap panggilan telefon tadi, dia sudah mula ada perasaan syak wasangka terhadap Hamdan. Hatinya yang cemas mula redah.

            “Tidak ada apa-apa, bang. Cuma hendak bertanya khabar sahaja. Jangan lupa malam ini. Kita akan ke Marina Square untuk membeli barangan keperluan sekolah Hasyim. Tahun hadapan, Hasyim akan pergi ke sekolah rendah,” kata Suhaila.

            “Okay, Su. Jangan bimbang. Tunggu di tempat biasa. Pukul enam petang nanti abang akan datang untuk membawa Su dan Hasyim ke Marina Square. Jumpa lagi,” kata Hamdan.

            Hamdan mematikan telefon bimbitnya dengan segera. Azura menyepit beberapa potongan daging ayam teriyaki yang sudah masak dan meletakkannya di atas pinggan Hamdan. Kemudian, Azura meletakkan beberapa potongan daging ayam kari mentah di atas tempat bakar untuk dimasak. Mereka sedang berada di Seoul Garden yang teletak di Bugis Junction.

            “Siapa yang telefon tadi, bang,” tanya Azura lalu mengupas kulit udang yang baru sahaja direbus.

            Hamdan tidak menjawab. Belum sempat dia menjawab, Azura telah bertanya soalan lagi.

            “Teman wanita?” tanya Azura dengan lirik matanya yang tajam.

            Hamdan masih berdiam.

            Suhaila duduk sebentar di atas sofa. Dia masih tidak puas hati. Dia sudah mula rasa dirinya telah dicabar. Dia sudah mula rasa bahawa Hamdan telah berlaku curang. Banyak soalan yang sedang bermain-main dalam fikirannya. Soalan-soalan ini akhir terjawap apabila dia melihat sendiri, Hamdan sedang bermesraan dengan seorang wanita di restoran Manhanttan Fish Market.  Sedang Suhaila berada di dalam tandas untuk mengenangkan diri, Azura mula bertengkar dengan Hamdan.

            “Hamdan, siapa perempuan itu? Pasti ada sebab mengapa wanita itu menamparmu,” tanya Azura dengan nada yang agak tinggi.

            “Sebenarnya, Su . . . Eh, Azura, dia adalah isteri abang,” jawap Hamdan dengan suara yang mula tersekat-sekat.

            “Apa?! Dia isteri kau?” teriak Azura. Tanpa rasa belas kasihan, Azura menampar muka Hamdan. Semua orang di dalam restoran itu terperanjat. Sepasang suami isteri telah meninggalkan restoran itu kerana pertengkaran itu telah mengganggu ketenteraman mereka yang sedang makan.

            “Sanggup engkau menipu aku. Engkau telah mengaku bujang. Sekarang engkau sudah lukakan hati seorang wanita. Engkau sudah berlaku curang. Sekarang, bagaimana aku mahu percaya yang engkau boleh jadi suami yang baik jika kau telah berlaku curang terhadap isteri engkau sendiri?” kata Azura.

            “Azura, kita boleh berbincang mengenai perkara ini. Kau masih boleh jadi isteri aku yang kedua. Dalam syariah Islam, lelaki boleh kahwin empat,” kata Hamdan.

            “Hamdan, aku kenal engkau sejak di bangku sekolah. Kau seorang yang pemalu dan penakut. Kau seringkali dibuli oleh rakan-rakan sekolah. Dengan badan kau yang gemuk, engkau seringkali diejek dengan gelaran humpty-dumpty. Terus terang aku katakan kepada engkau. Sejak kita bertemu di facebook, cintaku terhadapmu mula berputik. Kini engkau sudah menjadi seorang yang tampan. Engkau sudah berjaya. Kini engkau adalah Pegawai Ketua Eksekutif sebuah firma pembinaan di Singapura. Aku masih ingat lagi setahun yang lalu. Muka engkau terpampar dalam Berita Harian. Engkau mendapat anugerah Usahawan Harapan 2010. Sejak hari itu aku cuba mencari engkau di facebook. Tanpa kau sedari, tiap-tiap hari aku akan melungsuri ke lelaman facebook wall engkau untuk mengikuti setiap gerak-gerimu. Hari ini baru aku sedar bahawa maklumat yang aku dapat daripada facebook mengenai diri engkau adalah tidak benar. Selama ini aku sangkakan yang engkau masih bujang. Rupa-rupanya kau sudah beristeri,” suara Azura menyepi.

            “Baiklah, Hamdan. Mulai hari ini kita tidak ada hubungan lagi. Selamat tinggal!” kata Azura dengan suara sedih berperisa amarah.

Azura terus keluar daripada restoran itu. Hamdan terduduk seketika. Hamdan berasa resah. Pertengkaran di dalam restoran di antara Hamdan dan Azura telah menjadi perhatian utama bagi pelanggan-pelanggan yang masih menikmati juadah mereka. Dia lihat seorang kaki tangan restoran sedang membersihkan sisa-sisa makanan yang telah jatuh ke atas lantai. Tiba-tiba, ada suara budak kecil.

            “Ayah, lelaki yang ditampar tadi, pernah memang anugerah, kan? Tidak silap Shireen, laporan itu pernah disiarkan di Berita Harian.” tanya budak perempuan yang dalam usia belasan tahun.

            “Shh . . . Jangan cakap kuat-kuat,” tegar ayahnya sambil menyuap sekeping udang goreng ke mulutnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan