Ahad, 10 Januari 2016

Embun Malam


Diterbitkan: Berita Harian, Isnin, 10 November 2015
Tarikh: 27 September 2015)

Sudah pukul satu pagi. Aku masih lagi di luar Artscience Museum. Fikiranku bercelaru. Fikiranku masih lagi berkecamuk memikirkan tentang perbincangan petang semalam. Setiap kali aku berasa tertekan, aku akan mengasingkan diriku daripada orang ramai. Aku tidak mahu diriku diganggu. Lazimnya aku akan pergi ke tempat sunyi untuk mencari ketenangan. Pemandangan East Coast Park tidak secantik Marina Reservoir. Pemandangan laut dari East Coast Park pada waktu malam dibanjiri dengan kilauan lampu dari kapal-kapal yang sedang berlayar ke arah Selat Melaka dan Laut Cina Selatan. Di Marina Reservoir, airnya tenang. Bayu malam bertiup manja. Aku mula terasa sejuk seperti aku berada di dalam bilik berhawa dingin. Memang sungguh indah jika aku dapat bermalam di sini. Maka, tidak menghairankanlah apabila aku ternampak beberapa orang sedang tidur nyenyak di bangku di luar Marina Bay Sands. Mungkin mereka lebih selesa tidur dalam suhu yang dingin. Beberapa orang kelihatan sedang tidur nyenyak di atas lantai yang beralaskan kadbod. Ramai di antara mereka berada dalam lingkungan usia lima puluhan. Ada yang tidur berbantalkan beg kecil.

            Aku duduk di bangku yang kosong sambil melihat bangunan-bangunan pencakar langit. Masih ada dua atau tiga bilik pejabat yang belum dipadam lampunya. Mungkin mereka sudah pulang ke rumah tetapi terlupa untuk mematikan lampu. Lampu-lampu di luar kawasan Bank of China masih lagi bernyala. Tiba-tiba fikiranku menerawang ke peristiwa yang berlaku petang semalam.

            “Kita masih belum bersedia untuk menganjurkan projek ini. Projek ini memerlukan dana yang besar. Malah, jumlah sukarelawan yang ada sekarang juga belum cukup besar untuk menampung projek yang masih dijalankan,” kataku kepada Mustaqim.

            Mustaqim diam seketika. Keputusan sama ada projek yang diusulnya akan diteruskan atau tidak belum lagi mencapai kata putus. Aku dan Mustaqim telah menjadi sahabat sejak berada di sekolah menengah. Dia mempunyai cita-cita tinggi. Dia mahu menjadi seorang saintis. Kini, Mustaqim bekerja di sebuah institut penyelidikan. Bak kata pepatah Melayu, genggam bara api biar sampai jadi arang.  Dia belajar sepanjang masa kecuali waktu sembahyang, makan dan tidur. Ibunya seorang juruwang di Pasar Raya Sheng Siong. Bapanya pula bekerja sebagai pegawai keselamatan di pusat membeli-belah Lot 1. Dia merupakan anak sulung dalam lima orang adik-beradik.

Syukur Alhamdulillah. Permohonan Mustaqim untuk mendapatkan subsidi  Tertiary Tuition Fee Subsidy (TTFS) daripada Mendaki diluluskan. Selepas menjalani Perkhidmatan Negara, dia melanjutkan pelajarannya di Universiti Teknologikal Nanyang. Kini, aku dan Mustaqim merupakan rakan kongsi sebuah pertubuhan perkhidmatan sosial yang bernama Loving Care. Sejak Loving Care ditubuhkan, aku dan Mustaqim serta sukarelawan yang lain telah membawa ramai warga emas ke tempat-tempat menarik. Dua atau tiga bulan sekali, kami akan membawa sekurang-kurangnya dua puluh warga emas yang menetap di kawasan perumahan Bukit Merah ke acara Chingay, Botanical Garden dan aktiviti Bulan Bahasa. Kos pengangkutan seperti bas ditaja oleh badan-badan bantu diri. Ongkos makanan, minuman dan cenderahati pula ditaja oleh Mustaqim. Selepas pulang daripada lawatan, para sukarelawan dan warga emas akan duduk sebentar di kolong blok untuk menikmati juadah.

            Semua projek berjalan dengan lancar. Namun begitu, cita-cita Mustaqim terlalu tinggi. Petang semalam Mustaqim mengusulkan agar Loving Care membina sebuah rumah tumpangan anak-anak yatim di Sumatra Selatan. Sebenarnya, aku setuju dengan cadangan itu. Sejak di bangku sekolah, aku digalak untuk berbakti kepada masyarakat. Namun begitu, aku ingat pesanan guruku. Dia menasihatkan aku supaya mengutamakan keperluan masysarakat tempatan dahulu sebelum memberi bantuan kepada masyarakat di luar negara. Terlebih dahulu seseorang itu harus menjaga kebajikan dan memberi nafkah kepada kedua-dua orang tua dan isteri. Kemudian melaksanakan kewajiban sebagai seorang Muslim dengan mengeluarkan zakat. Jika ada duit simpanan yang banyak, derma sebahagian daripada harta tersebut kepada badan-badan masyarakat seperti Lembaga Biasiswa Kenangan Maulud (LBKM) dan The Straits Times School Pocket Money Fund. Apabila sudah berbakti kepada masyarakat di sini barulah memberi sumbangan wang dan tenaga kepada masyarakat yang memerlukan di luar negara. Jangan sampai orang menegur kita dengan peribahasa kera di hutan disusukan, anak di rumah kelaparan. Sibuk buat kerja amal di luar negara tetapi tidak pernah mengeluarkan zakat dan memberi nafkah kepada isteri dan ibu bapa.

            “Mustaqim, memang niat engkau baik. Tetapi kita harus fokus kepada perancangan yang kita sudah tetapkan. Loving Care baru sahaja ditubuhkan pada tahun lalu. Kedudukan pertubuhan ini juga belum stabil. Bilangan sukarelawan pula belum tetap. Si Comat, anak Pak Sudin. Dia hanya datang sekali sahaja,” jelasku lagi.

            “Kau tidak yakin dengan kebolehan aku?” kata Mustaqim.

            “Aku yakin dengan kebolehan kau. Kita baharu sahaja memulakan skim derma Kamus Dewan. Sesiapa sahaja yang mempunyai lebih daripada satu Kamus Dewan di rumah, boleh menderma kamus kepada pelajar-pelajar yang datang dari keluarga susah. Kita juga baru memulakan kempen meningkatkan kesedaran tentang pengambilan makanan sihat dalam kalangan warga tua. Hujung minggu depan, kita akan membawa beberapa sukarelawan untuk mengecat rumah sewa yang didiami oleh warga tua. Aku tidak yakin yang pertubuhan kita dapat menjalankan tiga atau empat projek serentak. Nanti, yang dikejar tak dapat yang dikendung keciciran,” kataku lagi.

            “Jangan bimbang, sahabatku. Soal dana, jangan kau khuatir. Aku akan menjemput beberapa orang lain untuk turut menjayakan projek di Jawa Tengah. Aku mahu pertubuhan ini memainkan peranan yang lebih besar. Aku yakin kerja-kerja kebajikan di luar negara dapat menarik lebih ramai sukarelawan. Aku yajin sebahagian daripada sukarelawan yang bakal tampil ke hadapan mempunyai niat untuk melancong dan bukan semata-mata untuk membuat kerja kemasyarakatan. Namun, lama-kelamaan, sukarelawan daripada golongan ini akan tergerak hati untuk berubah sikap. Dalam jangka masa panjang, mereka akan melibatkan diri dalam kerja-kerja kemasyarakatan di luar negara kerana mahu berbakti kepada masyarakat dan bukan untuk melancong. InsyAllah,” jelas Mustaqim dengan penuh yakin sambil melihat Facebooknya di telefon bijak.


            Tiba-tiba dentuman guruh membuat aku tersentak daripada lamunan. Hujan sudah mula turun jatuh ke bumi dengan derasnya. Tanpa membuang masa, aku masuk ke dalam Marina Bay Sands Shopping Mall untuk berteduh. Orang-orang yang tidur di bangku juga terbangun. Dalam keadaan menggigil, mereka cepat-cepat lari untuk mencari tempat teduh. Tiba-tiba, aku ternampak seorang warga tua masih berbaring di tempat duduk. Aku berasa hairan. Degup jantungku semakin kuat. Dalam keadaan ini, aku keluar daripada tempat berteduh untuk mengejutkan orang itu. Aku menepuk badan orang itu Dia tidak sedarkan diri. Hatiku tertanya-tanya. Dengan pantas aku menelefon ambulan. Aku mula berasa hairan. Adakah dia pengsan atau sudah meninggal dunia?  Mengapakah dia tidur di sini? Di mana dia tinggal? Apabila aku membuka begnya, aku ternampak baju uniform yang lazimnya dipakai oleh pekerja pembersih di kedai kopi, tuala mandi, sabun dan berus gigi. Tanpa berlengah-lengah lagi aku mengangkatnya perlahan-lahan dan membawanya ke tempat teduh.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan