Sesi CITA ketujuh pada kali ini disajikan dengan sebuah sketsa yang mengisahkan dua tokoh sejarah yang hasil penulisan dan ideanya semakin terpinggir oleh masyarakat kita. Tokoh sejarah tersebut ialah Abdullah Munsyi dan Raden Adjeng Kartini. Sketsa yang berlangsung lima belas minit ini telah mengupas dan menyingkap perasaan dan resahan hati kedua-dua tokoh sejarah ini dalam mengharungi cabaran masyarakatnya semasa kedatangan penjajah Inggeris dan Belanda pada awal kurun kesembilanbelas. Sketsa ini diikuti dengan pembentangan ilmiah oleh Profesor Madya Hadijah Rahmat dari Jabatan Bahasa dan Budaya Melayu di Institut Pendidikan Nasional (NTU/NIE).
Prof Hadijah Rahmat menyifatkan kehadiran Abdullah Munsyi pada kurun kesembilan belas sebagai kunang-kunang yang memberi cahaya dalam gelap langit penjajah. Secara am sejarah Singapura pada kurun kesembilan belas dianggap gelap kerana pada ketika itulah masyarakat Melayu mula hilang kuasa di Singapura. Namun begitu, tidak ramai yang tahu mengenai karya yang pernah dihasilkan oleh Abdullah Munsyi, seorang intelektual pada kurun kesembilan belas. Peranannya dalam dunia persuratan Melayu amat menyerlah. Beliau diakui oleh ramai pegawai-pegawai kolonial sebagai perintis sastera Melayu moden. H. C. Klinkert menggelarkan beliau van peeren merkwaardige man (remarkable man). Skinner menggelar beliau sebagai “Father of Modern Malay Literature.” Peranan beliau dalam dunia persuratan Melayu cukup besar. Beliau belajar teknologi percetakan daripada paderi yang bertugas di London Missionary of Society, mengajar paderi-paderi dan pegawai kolonial bahasa Melayu dan mengkritik ketidakadilan sosial melalui karyanya. Tokoh seterusnya yang dibincangkan dalam pembentangan ilmiah ialah Raden Adjeng Kartini. Beliau telah diangkat oleh Presiden Sukarno sebagai wira Negara Bangsa Indonesia. Pramoedya menyifatkan Kartini sebagai “obor yang menerangkan bangsanya.” Kartini, menerusi surat-suratnya yang dihantar kepada sahabat penanya, Stella, meluahkan perasaan kemarahan dan kehampaan terhadap masyarakatnya. Sebagai permaisuri keturunan raja, beliau tidak mempunyai kebebasan. Setelah umurnya meningkat dua belas tahun, beliau tidak dibenarkan keluar daripada perkarangan rumahnya. Namun begitu, beliau disajikan dengan buku-buku yang telah dibawa masuk oleh abang dan bapanya. Beliau menentang keras hal poligami dan perkahwinan yang telah ditetapkan oleh ibu bapa. Namun, beliau diberi peluang untuk membuka sebuah sekolah untuk pelajar-pelajar perempuan. Kajian perbandingan kedua-dua tokoh sejarah ini masih belum lagi kukuh. Pembentangan ilmiah ini telah memberi jalan untuk sesiapa sahaja yang berminat untuk membuat kajian secara terperinci mengenai kedua-dua tokoh.
Di dalam sesi KOMENTARI, Mohamed Imran Taib, seorang pelajar pasca siswazah di Jabatan Pengajian Melayu telah membentangkan kajian ilmiah mengenai sebuah novel yang bertajuk Atheis oleh Achdiat K. Mihardja. Di dalam novel tersebut, Achdiat telah mengetengahkan beberapa perutusan seperti agama sebagai rasa penghibur, ketaatan agama melalui ancaman dan ketakutan penyeksaan neraka, amalan agama sebagai tabiat, kebanggaan dalam ketaatan agama dan penegasan dogmatik, menghasilkan sikap tidak berbelah bagi. Analisa Mohamed Imran Taib juga merangkumi perbincangan mengenai kegagalan tradisionalisme dalam membetuk keperibadian seseorang. Tradisionalisme dalam agama boleh membuat seseorang itu rasa kekurangan kerana pendidikan tertutup, melahirkan rasa tidak aman, keraguan dan perasaan rendah diri, penilaian diri bergantung kepada penerimaan orang lain dan ketidakupayaan untuk berurusan dengan diri sendiri.
Kemudian acara ini disudahi dengan sesi ASTAKA. Sesi ASTAKA pada kali ini menguji kepetahan para pelajar dari sekolah menengah. Para pelajar telah digalak untuk mendeklamasikan sajak, menjual beli pantun dan bercakap petah mengenai isu-isu semasa. Pelajar juga telah diajar untuk menari ikut tarian tradisional Melayu. Sesi ketujuh CITA: SASTERA DAN SENI ini diakhiri dengan penabalan ADI BUDAYA. Pencalonan untuk anugerah ini adalah berdasarkan kepetahan peserta dalam menyertai acara tersebut. Acara CITA: SASTERA DAN SENI ini akan terus berlangsung pada tahun 2013.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan