Jumaat, 22 April 2011

Kesan terhadap Bahasa Melayu jika hilang status Bahasa Ibunda

Kukuhnya bahasa Melayu di Singapura selama ini bergantung kepada dasar-dasar pemerintah yang terus menyokong bahasa ibunda sebagai usaha untuk memupuk nilai-nilai tradisional dan jati diri orang Melayu Singapura. Selagi bahasa Melayu diajar di sekolah, nescaya bahasa Melayu tidak akan pupus di Singapura. Ini adalah kerana penggalakkan dan penggunaan bahasa Melayu masih terus diusahakan secara sistematik. Kukuhnya bahasa melayu di Singapura juga disebabkan ada pihak berkuasa yang memantau kualiti penguasaan bahasa Melayu di Singapura. Memandangkan bahasa Melayu merupakan salah satu bahasa rasmi di Singapura, pemerintah mempunyai tanggungjawab untuk memastikan bahasa Melayu tidak akan terpinggir. Salah satu contoh sokongan daripada pemerintah ialah penubuhan Jawatankuasa Pembelanjaan dan Pengalakkan Penggunaan Bahasa Melayu (MLLPC) pada tahun 2006. Jawatankuasa ini telah banyak menyokong kegiatan bahasa Melayu yang dianjurkan oleh badan-badan mahasiswa dari segi dana dan motivasi. Oleh itu, memang sukar untuk menafikan bahawa dasar-dasar pemerintah terhadap bahasa ibunda memainkan peranan dalam membina jati diri orang Melayu di Singapura.

Namun begitu, kehilangan status Bahasa Melayu sebagai Bahasa Ibunda sudah tentu membawa padah kepada masa depan Bahasa Melayu yang sekian lama bergantung kepada jasa baik pemerintah. Jika bahasa Melayu diiktirafkan sebagai bahasa asing, bahasa Melayu tidak akan manfaat sama rata dengan bahasa ibunda yang lain seperti Bahasa Mandarin dan Tamil. Malah, mungkin Bahasa Melayu tidak lagi menjadi mata pelajaran wajib untuk pelajar Melayu memandangkan Bahasa Melayu sudah tidak lagi terikat oleh dasar-dasar pemerintah mengenai Bahasa Ibunda.

Apa yang akan menjadi cabaran kepada masyarakat Melayu ialah bagaimana cara untuk melestarikan penggunaan bahasa Melayu sekiranya pada suatu hari bahasa Melayu tidak lagi diajar di sekolah dan lebih malang lagi ialah kehilangan status bahasa melayu sebagai bahasa kebangsaan. Cabaran ini mungkin belum lagi dihadapi oleh masyarakat Melayu di Singapura memandangkan bahasa melayu masih lagi diajar di sekolah. Namun begitu, masyarakat melayu harus mengambil contoh Melayu di Sri Lanka. Walaupun mereka merupakan kaum minoriti, mereka tetap usaha gigih untuk mengekalkan identiti mereka sebagai bangsa Melayu. Sama ada Bahasa Melayu akan diajar sebagai bahasa asing di sekolah atau Bahasa Melayu kehilangan status sebagai bahasa kebangsaan di Singapura sekali pun, saya yakin bahawa Bahasa Melayu tetap menjadi bahasa ibunda di dalam hati setiap orang Melayu di Singapura. Masyarakat melayu akan terus berusaha untuk melestarikan bahasa Melayu kerana bahasa Melayu adalah milik masyarakat melayu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan