Sejajar dengan Pesta M1 Singapore Fringe 2010: Art and Law, drama teatre Bilik Ahmad Berdaki memaparkan sebuah bingkisan hati yang terpendam dari golongan terpinggir. Drama yang trilogi 180 minit ini merupakan satu saluran di mana suara terpinggir dapat diluahkan melalui seni lakonan. Walaupun teater ini ringkas, ia padat dengan perutusan-perutusan yang ingin disampaikan oleh sang pengarang.
Kekuatan drama Bilik Ahmad Berdaki boleh dilihat menerusi ekspresi muka daripada pelakon-pelakon dan kesan bunyi daripada perkakas-perkakas yang digunakan. Dari awal lagi, para penonton telah terkesan dengan bunyi-bunyi yang disengajakan oleh para pelakon menerusi. Teatre ini banyak menggunakan perkakas besi yang dapat mengeluarkan bunyi nyaring apabila dilanggar atau digesir. Contoh ini dapat dilihat apabila Hamid sedang membuat air kopi. Bunyi nyaring itu dapat didengar apabila dia menuang air ke dalam cawan besi dan mengacaunya perlahan-lahan menggunakan sudu besi. Ini membuat daya menarik agar penonton dapat memberi fokus kepadanya walaupun Farid dan Hasni sedang duduk berokok. Ini menunjukkan kesan sunyi itu lebih mendapat perhatian daripada kesan visual seperti asap rokok.
Di dalam babak “Ahmad”, buah pisang itu membawa sesuatu konotasi yang berusur erotisme. Konotasi ini juga hidup seiring dengan ekspresi muka dan nada suara yang dilakukan oleh pelakon. Contohnya, keseronokan Ahmad untuk memakan pisang yang disuap ke mulut boleh dilihat menerusi ekspresi muka pelakon. Mereka memakannya dengan mengunyah pisang itu dengan memek muka yang manja. Walaupun muka-muka pelakon tidak didandan, ekpresi muka dan nada suara yang asli cukup kuat unutk menghidupkan watak yang dibawa mereka.
Walaupun demikian, drama teatre Bilik Ahmad Berdaki ini juga mempunyai kelemahan. Kelemahan ini boleh dilihat menerusi kegagalan sang pengarang untuk memberi perutusan yang berunsur komidi atau jenaka. Seperti apa yang telah dicatatkan dan diakui sendiri oleh Encik Noor Effendy Ibrahim di dalam sesi soal jawab, tujuan drama ini ialah meluahkan perasaaan orang terpinggir melalui komidi. Namum begitu, pada persepsi saya, drama ini tidak boleh dikategorikan sebagai drama komidi seperti mana yang telah ditulis di dalam risalah.
Pengarang dapat melukiskan unsur-unsur jenaka pada babak Ahmad di mana terdapat unsur-unusr erotisme yang amat ketara. Namun nada babak Bilik dan Berdaki tidak melucukan. Pada babak Bilik, cara menyampaikan mesej itu amat kasar. Terdapat beberapa aksi menaik seperti mencabul kehormatan wanita dan pembunuhan. Aksi-aksi ini terus mengeluarkan nada yang kasar. Aksi-aksi lucu hanya berlaku dalam pertelingkahan mengenai menggunakan perkata “mengapa” dan “kenapa”. Namun secara keseluruhannya, jalan cerita babak ini penuh dengan konflik dan sulit bagi penonton untuk renung apa yang dimaksudkan pelakon itu. Pada babak terakhir “Berdaki” pula sungguh tragis. Di sini saya boleh melihat kelemahan drama ini dari segi nada suara dan dialog yang digunakan. Memang tidak dapat dinafikan bahawa perutusan drama ini dibawa dengan baik. Jika perutusan drama ini mahu diutarakan dengan cara komidi, saya berpendapat bahawa dialog dan nada suara pelakon harus diteliti semula.
Secara keseluruhannya, drama teater ini telah jaya membawa luahan perasaan golongan terpinggir ke persada seni. Walaupun drama ini mengupas isu-isu yang terlarang seperti homoseksual, pengkhianatan, kerakusan dan kebobrokan individu, namum nilai-nilai estetik dalam drama ini dapat dikawal dengan rapi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan