Jumaat, 12 Oktober 2012

CITA sesi ketiga: Sastera dan Kesedaran Sejarah (24 Mac 2012)


The Arts House, Parliament Chamber
10 pagi hingga 4 petang            



          Sesi Cita ketiga kali ini membicarakan peranan sastera dalam meningkatkan lagi kesedaran sejarah. Pemakalah dalam sesi BICHARA untuk sesi kali ini ialah Encik Isa Kamari. Isa Kamari merupakan salah seorang sasterawan di Singapura yang bergiat dalam menulis novel yang berlatarbelakangkan sejarah. Dalam pembentangan makalah ini, Encik Isa telah menyenaraikan lima buah novel yang dianggapnya sebagai novel sejarah. Novel-novel tersebut ialah Satu Bumi, Atas Nama Cinta, Memeluk Gerhana, Rawa: Tragedi Pulau Batu Puteh dan Duka Tuan Bertakhta.

Isa memperkukuhkan pendapatnya mengenai peranan sasterawan dalam meningkatkan kesedaran sejarah. Dalam menghasilkan novel sejarah, Isa telah membuat kajian mengenai sejarah melalui pembacaan dan pengalaman. Fakta sejarah tersebut telah ditulis semula dalam bentuk penceritaan dengan gaya imaginasi. Di dalam makalahnya, Isa berniat untuk meningkatkan kesedaran sejarah. Di antara fakta-fakta sejarah yang telah dimuatkan ke dalam novelnya ialah kisah Wak Cantok, Habib Nuh, episod Maria Hertogh, perpisahan Singapura daripada Malaysia, pertelegaan mengenai Pulau Batu Puteh dan pergerakan Freemason di Semenanjung Tanah Melayu. Hasil karya Isa Kamari menunjukkan bahawa setiap manusia ada sejarahnya. Pengalaman hidupnya ketika Singapura sedang melalui pembentukan sebuah negara bangsa juga telah dijadikan sebahagian daripada hasil karya novelnya. Dengan menghasilkan novel-novel sejarah ini, Isa berharap novel-novelnya akan menjadi sejarah alternatif.


                
Saya sedang membeli pantun

                Dalam sesi ASTAKA, peserta dapat berpeluang untuk bertemu dengan seorang pemantun handal, saudara Mohd Husaini Mohd Rofi dari Universiti Sultan Zainal Abidin. Dalam sesi ini juga para peserta juga berpeluang untuk mengarang pantun secara spontan. Malah, ramai juga anak muda tampil kehadapan untuk menjawab pantun teka teki. Di antara pantun teka teki yang dijual ialah:

Kalau Tuan pergi ke kedai
Belikan saya buah keranji
Kalau tuan bijak pandai
Apa binatang keris di kaki?

            Pada permulaannya peserta agak gugup untuk membeli pantun itu. Namun, ada peserta yang memberanikan diri untuk membeli pantun itu. Pantun itu adalah seperti berikut:

Biji timah di Taiping
Bukit Kepung didaki
Hang Tuah berkeris di samping
Ayam pula berkeris di kaki


      
Seorang peserta daripada Sekolah Menengah Jurongville mahu membeli pantun

       Peserta juga telah diajar mengenai ciri-ciri pantun yang baik. Dua baris pertama sebuah pantun merupakan pembayang dan dua baris terakhir ialah maksud. Pembayang pantun haruslah berbentuk alam. Pantun yang baik mempunyai rima awal, hujung dan tengah. Suku kata setiap baris pantun itu seharusnya seimbang. Lazimnya, pemantun akan menekankan rima hujung semasa berpantun secara sepontan. Peserta sesi ini juga dimaklumkan bahawa pantun merupakan sebuah wadah sastera yang indah. Pantun ini juga digunakan untuk majlis keramaian seperti majlis persandingan, upacara rasmi dan ucapan rasmi. Walaupun pantun itu indah dan biasanya digunakan untuk bersantai, mesej yang mahu disampaikan di dalam pantun itu kadang kalanya bernas dan pedas. Oleh itu, tidak hairanlah banyak pantun tradisional yang dikarang berbentuk nasihat.

Di dalam sesi KOMENTARI pula Saudari Annaliza Bakri telah membentangkan makalah yang berjudul Sastera dan prejudis: Kajian daripada hasil karya sastera Singapura. Sesi ini telah membincangkan mengenai stereotaip dan prejudis bangsa dan agama di dalam novel tempatan. Isu stereotaip dan prejudis dalam sastera Singapura ini mencerminkan cara pemikiran sasterawan-sasterawan  dalam respons mereka terhadap reaksi Acara CITA yang seterusnya juga akan diadakan di The Arts House pada tanggal 13 April 2012 di mana Dr Saeda Buang akan menjadi pembentang.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan