Sesi CITA kelima membawa kita ke
dunia pementasan. Encik Almahdi Al-Haj Ibrahim atau lebih dikenali sebagai
Nadiputra membuka tirai sesi ini dengan membentangkan makalahnya bertajuk ‘Teater
Itu Mengenal Diri’. Sesi kali ini
diadakan di Chamber, yang suatu
ketika dahulu merupakan tempat anggota parlimen Singapura bersidang. Nadiputra
memulakan acara BICHARA dengan memperkenalkan teater Muzika Lorong Buang Kok
yang bakal berlangsung pada 7 Julai 2012 di Black
Box Tampines Primary School. Persoalan
utama yang dibincangkan pada awal sesi ini ialah memori sosial. Sebelum
Nadiputra membentangkan makalahnya, peserta disajikan dengan sebuah lagu tema
Muzika Lorong Buang Kok yang dinyanyi oleh barisan pelakon.
Nadiputra bersama barisan pelakon Muzika Lorong Buangkok
Nadiputra dilahirkan sebagai seorang
pendiam. Semasa waktu kecil, beliau suka berfikir dan menyendiri. Beliau
menyifatkan penglibatannya dalam dunia pementasan adalah sebahagian daripada
proses pendewasaan. Beliau diasuh oleh gurunya, David Lim. Kemudian, semangat
untuk berlakon mula berputik. Sehingga ke hari ini dia melibatkan diri lebih
daripada tiga puluh buah drama. Penglibatan beliau merangkumi aktiviti-aktiviti
drama di sekolah, persatuan Kemuning dan badan-badan budaya yang lain.
Lakonan teater pada pandangan beliau
adalah wadah untuk menjiwai watak yang disandarkan. Lakonan teater ini juga
didampingi dengan idea seseorang penulis. Apabila pelakon itu mahu menjiwai
watak yang disandari, dia harus membuat kajian mengenai watak berdasarkan
konteks jalan cerita teater itu. Setiap pelakon harus mempunyai disiplin agar
penghayatan watak dalam teater itu dapat dijiwai dengan sepenuhnya. Teater juga
membantu kita untuk mengenal diri kita sendiri. Memandangkan dunia ini penuh
sandiwara, pentas teater adalah cerminan dalam hidup masyarakat sebenar.
Penyataan ini akan mengingatkan kita mengenai satu ungkap terkenal daripada
William Shakespeare: “Dunia ini ibarat pentas sandiwara, dan kita semua adalah
para pelakonnya.” Persembahan teater itu mengajar kita mengenai nilai-nilai
manusiawi. Setiap nilai yang dipelajari akan menjadi sandaran dalam pembinaan
keperibadian seseorang itu. Apabila lakonan itu dipentaskan ke khalayak ramai,
penonton akan menilainya dari segi ekpresi dan nilai-nilai yang mahu
disampaikan oleh pelakon.
Puan Kartini dalam acara KOMENTARI
Di dalam sesi KOMENTARI pula, Puan
Kartini, seorang penyarah daripada NTU/NIE membentangkan makalah bertajuk:
“Mencari Sastera Remaja dalam karya Sastera Melayu Singapura. Di dalam
makalahnya, beliau telah mengupas tren tema dan persoalan yang diangkat dalam
karya-karya fiksyen yang dihasilkan untuk dibaca oleh para remaja. Di antara
karya fiksyen yang diketengahkan ialah Ayat-ayat Cinta yang juga dikenali
sebagai novel pembanguan jiwa. Karya
fiksyen yang menjadi tumpuan dalam sesi KOMENTARI ialah Panglima Awang.
Panglima Awang merupakan salah sebuah novela karya Harun Aminurrashid. Novel Panglima Awang pernah dijadikan teks
sastera di sekolah dan telah menjadi popular dalam kalangan remaja pada suatu
ketika dahulu. Panglima Awang merupakan seorang hulubalang dari Melaka yang
memperjuangkan kebebasan Melaka setelah ditakhluki Portugis. Kemudian, dia
ditangkap dan telah dijadikan hamba. Semasa dia hidup dalam tahanan dia dibawa
oleh Megellan ke Portugis. Di dalam novela ini, Panglima Awang diceritakan
sebagai orang pertama yang mengelilingi dunia.
Sekolah Pemerintah Tinggi Bukit Panjang
Acara
CITA pada kali ini diakhiri dengan sebuah persembahan sajak daripada
tiga sekolah iaitu Sekolah Menengah Admiralty, Sekolah Menengah Tinggi
Pemerintah Bukit Panjang dan Sekolah Menengah Tanjong Katong. Acara CITA
seterusnya akan berlangsung pada 15 September 2012. Pembentang makalah untuk
sesi CITA seterusnya ialah Encik Suradi Sipan. Beliau akan membentangkan sebuah
makalah dalam sesi BICHARA. Puan Nuraini Ismail akan menjadi pembentang bagi
sesi KOMENTARI dan akhir sekali sesi ASTAKA akan menyaksikan persembahan dikir
barat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan