Jumaat, 26 Oktober 2012

CITA sesi keenam: Dikir Barat@Chamber (15 September 2012)



Sesi ASTAKA pada tanggal 15 September 2012 membawa peserta ke ‘Kelantan.’ Sebagai sebuah program penerapan nilai manusiawi, sesi ASTAKA pada kali ini memperkenalkan para peserta dengan sebuah persembahan seni yang dinamakan dikir barat. Acara dikir barat ini telah dipersembahkan oleh kumpulan Jumantan dari Sekolah Menengah Jurongville. Dengan mengadakan sebuah sesi yang bercorak interaktif, persembahan dan penjelasan daripada beberapa pelajar daripada Sekolah Menengah Jurongville telah sedikit sebanyak mengubah persepsi masyarakat umum mengenai dikir barat. Dikir barat seringkali dikaitkan dengan budaya lepak yang kumpulannya dianggotai oleh remaja yang dipercayai bermasalah. Seni ASTAKA kali ini memberi peluang kepada peserta CITA untuk mengenali dikir barat dengan lebih mendalam. 




Dikir barat sebenarnya berasal dari Kelantan. Perkataan ‘dikir’ ini sebutannya seakan-akan perkataan ‘zikir’. Perihal berzikir ini ada kaitan dengan amalan keagamaan. Secara tradisional, dikir barat ini dilakukan untuk memuja dewa-dewa selepas musim penuaian. Setelah kedatangan Islam, persembahan dikir barat hanya dilakukan untuk hiburan. ‘Barat’ merupakan negeri Siam berdasarkan pandangan daripada Kelantan. Kumpulan dikir barat terdiri daripada Tok Juara, Tukang Karut, awok-awok dan kumpulan paluan. Alat muzik tradisional terdiri daripada ibu rebana, rebana anak, canang, gong dan marakas. Rentak irama ibu rebana pula mempunyai lima jenis. Rentak-rentak itu adalah mambo, jinjeng, joget, dangdut dan wau bulan. Walaupun persembahan dikir barat ini dilakukan secara santai, gaya penyampaian oleh tukang karut dan tok juara memerlukan ketangkasan dalam mencerna idea-idea baru. Mesej yang mahu disampaikan oleh Tok Juara mengandugi perbincangan intelektual. Setiap puisi yang dikarang oleh Tok Juara harus mempunyai rima yang betul. Persembahan dikir barat ini perlukan tahap disiplin yang tinggi. Setiap gerak-geri awok-awok harus dilakukan dengan rentak yang seragam. Di akhir sesi ASTAKA, kesemua peserta belajar cara-cara untuk mengadakan persembahan dikir barat.

            Di dalam sesi KOMENTARI, Puan Nuraini Ismail pula membentangkan makalah berjudul “Kajian Mendalam Mengenai Drama Teater Kontemporari: Pandangan dan perspektif.” Puan Nuraini mengupas persoalan dan tema yang dikedepankan oleh para penggiat teater tempatan pada masa kini. Isu atau persoalan yang disampaikan oleh penggiat teater termasuk isu etnik sosial, perkhawinan berlainan agama dan identiti budaya. Penggiat teater yang turut dibincangkan dalam makalahnya ialah Alin Mosbit, Zizi Azah an Alfian Saat. Memandangkan masyarakat Melayu Singapura semakin dekat dengan pemodenan, perspektif dan pandangan dalam minda penggiat teater juga semakin matang dan berani. Ramai di antara mereka berani mengupas isu-isu yang dahulu dianggap tabu. Perkara ini juga bergantung kepada perubahan perspektif penonton.

            Di dalam sesi BICHARA, Encik Suradi Sipan telah membentangkan makalah mengenai sejarah evolusi sastera Melaya dan kedudukan sastera Melayu sebagai waah pendidikan menerusi karya sastera yang telah dihasilkan semasa zaman kolonial sehingga ke zaman ini. Diharapkan juga dalam pembicaraan ini, pemakalah dapat meneliti cabaran-cabaran yang bakal dihadapi dunia persuratan Melayu pada masa akan datang. Encik Suradi Sipan merupakan seorang guru yang telah mengajar lebih daripada 40 tahun.  Beliau juga merupakan seorang anggota APAD bersama-sama pelukis S. Mohdir. Beliau juga telah menjadi editor Majalah Singa dibawa naung Kementerian Budaya. Program CITA: Sastera dan Seni akan sampai penghujungnya pada tanggal 13 November 2012 di Chamber, The Arts House. Sesi ketujuh ini adalah sesi terakhir untuk sesi bulanan CITA. 

CITA Sesi Kelima: Cita Astaka di Parliament Chamber (19 Mei 2012)

Sesi CITA kelima membawa kita ke dunia pementasan. Encik Almahdi Al-Haj Ibrahim atau lebih dikenali sebagai Nadiputra membuka tirai sesi ini dengan membentangkan makalahnya bertajuk ‘Teater Itu Mengenal Diri’.  Sesi kali ini diadakan di Chamber, yang suatu ketika dahulu merupakan tempat anggota parlimen Singapura bersidang. Nadiputra memulakan acara BICHARA dengan memperkenalkan teater Muzika Lorong Buang Kok yang bakal berlangsung pada 7 Julai 2012 di Black Box Tampines Primary School.  Persoalan utama yang dibincangkan pada awal sesi ini ialah memori sosial. Sebelum Nadiputra membentangkan makalahnya, peserta disajikan dengan sebuah lagu tema Muzika Lorong Buang Kok yang dinyanyi oleh barisan pelakon.


Nadiputra bersama barisan pelakon Muzika Lorong Buangkok

Nadiputra dilahirkan sebagai seorang pendiam. Semasa waktu kecil, beliau suka berfikir dan menyendiri. Beliau menyifatkan penglibatannya dalam dunia pementasan adalah sebahagian daripada proses pendewasaan. Beliau diasuh oleh gurunya, David Lim. Kemudian, semangat untuk berlakon mula berputik. Sehingga ke hari ini dia melibatkan diri lebih daripada tiga puluh buah drama. Penglibatan beliau merangkumi aktiviti-aktiviti drama di sekolah, persatuan Kemuning dan badan-badan budaya yang lain.

Lakonan teater pada pandangan beliau adalah wadah untuk menjiwai watak yang disandarkan. Lakonan teater ini juga didampingi dengan idea seseorang penulis. Apabila pelakon itu mahu menjiwai watak yang disandari, dia harus membuat kajian mengenai watak berdasarkan konteks jalan cerita teater itu. Setiap pelakon harus mempunyai disiplin agar penghayatan watak dalam teater itu dapat dijiwai dengan sepenuhnya. Teater juga membantu kita untuk mengenal diri kita sendiri. Memandangkan dunia ini penuh sandiwara, pentas teater adalah cerminan dalam hidup masyarakat sebenar. Penyataan ini akan mengingatkan kita mengenai satu ungkap terkenal daripada William Shakespeare: “Dunia ini ibarat pentas sandiwara, dan kita semua adalah para pelakonnya.” Persembahan teater itu mengajar kita mengenai nilai-nilai manusiawi. Setiap nilai yang dipelajari akan menjadi sandaran dalam pembinaan keperibadian seseorang itu. Apabila lakonan itu dipentaskan ke khalayak ramai, penonton akan menilainya dari segi ekpresi dan nilai-nilai yang mahu disampaikan oleh pelakon.



Puan Kartini dalam acara KOMENTARI           

Di dalam sesi KOMENTARI pula, Puan Kartini, seorang penyarah daripada NTU/NIE membentangkan makalah bertajuk: “Mencari Sastera Remaja dalam karya Sastera Melayu Singapura. Di dalam makalahnya, beliau telah mengupas tren tema dan persoalan yang diangkat dalam karya-karya fiksyen yang dihasilkan untuk dibaca oleh para remaja. Di antara karya fiksyen yang diketengahkan ialah Ayat-ayat Cinta yang juga dikenali sebagai novel pembanguan jiwa.  Karya fiksyen yang menjadi tumpuan dalam sesi KOMENTARI ialah Panglima Awang. Panglima Awang merupakan salah sebuah novela karya Harun Aminurrashid.  Novel Panglima Awang pernah dijadikan teks sastera di sekolah dan telah menjadi popular dalam kalangan remaja pada suatu ketika dahulu. Panglima Awang merupakan seorang hulubalang dari Melaka yang memperjuangkan kebebasan Melaka setelah ditakhluki Portugis. Kemudian, dia ditangkap dan telah dijadikan hamba. Semasa dia hidup dalam tahanan dia dibawa oleh Megellan ke Portugis. Di dalam novela ini, Panglima Awang diceritakan sebagai orang pertama yang mengelilingi dunia.


Sekolah Pemerintah Tinggi Bukit Panjang

Acara CITA pada kali ini diakhiri dengan sebuah persembahan  sajak daripada tiga sekolah iaitu Sekolah Menengah Admiralty, Sekolah Menengah Tinggi Pemerintah Bukit Panjang dan Sekolah Menengah Tanjong Katong. Acara CITA seterusnya akan berlangsung pada 15 September 2012. Pembentang makalah untuk sesi CITA seterusnya ialah Encik Suradi Sipan. Beliau akan membentangkan sebuah makalah dalam sesi BICHARA. Puan Nuraini Ismail akan menjadi pembentang bagi sesi KOMENTARI dan akhir sekali sesi ASTAKA akan menyaksikan persembahan dikir barat.

Jumaat, 12 Oktober 2012

CITA sesi ketiga: Sastera dan Kesedaran Sejarah (24 Mac 2012)


The Arts House, Parliament Chamber
10 pagi hingga 4 petang            



          Sesi Cita ketiga kali ini membicarakan peranan sastera dalam meningkatkan lagi kesedaran sejarah. Pemakalah dalam sesi BICHARA untuk sesi kali ini ialah Encik Isa Kamari. Isa Kamari merupakan salah seorang sasterawan di Singapura yang bergiat dalam menulis novel yang berlatarbelakangkan sejarah. Dalam pembentangan makalah ini, Encik Isa telah menyenaraikan lima buah novel yang dianggapnya sebagai novel sejarah. Novel-novel tersebut ialah Satu Bumi, Atas Nama Cinta, Memeluk Gerhana, Rawa: Tragedi Pulau Batu Puteh dan Duka Tuan Bertakhta.

Isa memperkukuhkan pendapatnya mengenai peranan sasterawan dalam meningkatkan kesedaran sejarah. Dalam menghasilkan novel sejarah, Isa telah membuat kajian mengenai sejarah melalui pembacaan dan pengalaman. Fakta sejarah tersebut telah ditulis semula dalam bentuk penceritaan dengan gaya imaginasi. Di dalam makalahnya, Isa berniat untuk meningkatkan kesedaran sejarah. Di antara fakta-fakta sejarah yang telah dimuatkan ke dalam novelnya ialah kisah Wak Cantok, Habib Nuh, episod Maria Hertogh, perpisahan Singapura daripada Malaysia, pertelegaan mengenai Pulau Batu Puteh dan pergerakan Freemason di Semenanjung Tanah Melayu. Hasil karya Isa Kamari menunjukkan bahawa setiap manusia ada sejarahnya. Pengalaman hidupnya ketika Singapura sedang melalui pembentukan sebuah negara bangsa juga telah dijadikan sebahagian daripada hasil karya novelnya. Dengan menghasilkan novel-novel sejarah ini, Isa berharap novel-novelnya akan menjadi sejarah alternatif.


                
Saya sedang membeli pantun

                Dalam sesi ASTAKA, peserta dapat berpeluang untuk bertemu dengan seorang pemantun handal, saudara Mohd Husaini Mohd Rofi dari Universiti Sultan Zainal Abidin. Dalam sesi ini juga para peserta juga berpeluang untuk mengarang pantun secara spontan. Malah, ramai juga anak muda tampil kehadapan untuk menjawab pantun teka teki. Di antara pantun teka teki yang dijual ialah:

Kalau Tuan pergi ke kedai
Belikan saya buah keranji
Kalau tuan bijak pandai
Apa binatang keris di kaki?

            Pada permulaannya peserta agak gugup untuk membeli pantun itu. Namun, ada peserta yang memberanikan diri untuk membeli pantun itu. Pantun itu adalah seperti berikut:

Biji timah di Taiping
Bukit Kepung didaki
Hang Tuah berkeris di samping
Ayam pula berkeris di kaki


      
Seorang peserta daripada Sekolah Menengah Jurongville mahu membeli pantun

       Peserta juga telah diajar mengenai ciri-ciri pantun yang baik. Dua baris pertama sebuah pantun merupakan pembayang dan dua baris terakhir ialah maksud. Pembayang pantun haruslah berbentuk alam. Pantun yang baik mempunyai rima awal, hujung dan tengah. Suku kata setiap baris pantun itu seharusnya seimbang. Lazimnya, pemantun akan menekankan rima hujung semasa berpantun secara sepontan. Peserta sesi ini juga dimaklumkan bahawa pantun merupakan sebuah wadah sastera yang indah. Pantun ini juga digunakan untuk majlis keramaian seperti majlis persandingan, upacara rasmi dan ucapan rasmi. Walaupun pantun itu indah dan biasanya digunakan untuk bersantai, mesej yang mahu disampaikan di dalam pantun itu kadang kalanya bernas dan pedas. Oleh itu, tidak hairanlah banyak pantun tradisional yang dikarang berbentuk nasihat.

Di dalam sesi KOMENTARI pula Saudari Annaliza Bakri telah membentangkan makalah yang berjudul Sastera dan prejudis: Kajian daripada hasil karya sastera Singapura. Sesi ini telah membincangkan mengenai stereotaip dan prejudis bangsa dan agama di dalam novel tempatan. Isu stereotaip dan prejudis dalam sastera Singapura ini mencerminkan cara pemikiran sasterawan-sasterawan  dalam respons mereka terhadap reaksi Acara CITA yang seterusnya juga akan diadakan di The Arts House pada tanggal 13 April 2012 di mana Dr Saeda Buang akan menjadi pembentang.