Sabtu, 2 Julai 2011

Pariah

Teater 'Pariah' ini telah dipentaskan di Blackbox perpustakaan negara pada tanggal 23 hingga 25 Jun 2011 di Singapura dan di The Annexe Gallery pada tangal 30 Jun, 1 dan 3 Julai di Kuala Lumpur. Skrip pementasan ini ditulis oleh Alfian Saat dan pengarah pementasan ini ialah Jo Kukathas. Pementasan ini berlatarbelakangkan kehidupan di Malaysia.Alfian Saat mendapat ilham untuk teater ini daripada dua buah karya iaitu filem Talentime oleh Yasmin Ahmad dan novel Interlok oleh Abdullah Hussein. Novel Intelok ini telah menjadi kontroversi sejak buku ini dijadikan teks sastera wajib untuk tingkatan 5. Di dalam buku ini, pengarang novel telah menggunakan perkataan 'pariah'. Perkataan ini agar sensitif kepada masyarakat India. masyarakat India menyangkal dakwaan bahawa tidak semua pendatang daripada India ini datang daripada kelas pariah. Sebenarnya, novel ini dikarang untuk perpaduan negara Malaysia.

Teater 'Pariah' sebagai pelantar mengkritik pandangan umum mengenai novel Interlok

Novel 'Interlok' sebagai sejarah sosial dan fiksyen sejarah

Cerita yang dilukiskan di dalam novel ini adalah berdasarkan fakta-fakta sejarah. Namun begitu, watak yang diciptakan dalam cerita ini adalah fiksyen semata-mata. Jalan cerita novel ini memaparkan sejarah sosial. Bahan-bahan sejarah yang telah membina struktur jalan cerita telah dilakukan secara selektif. Di antara bahan-bahasa sejarah yang digunakan dalam novel ini ialah sistem kangani dan sebagainya. Dalam bab dua dan tiga, penulis menceritakan kisah Diaspora yang dihadapi oleh masyarakat Cina dan India berhijrah ke Malaya untuk mencari rezeki. Bab satu pula menceritakan kesan dan impak kepada masyarakat peribumi Melayu dengan kedatangan pendatang asing. Pada masa yang sama, novel ini berkisahkan kehidupan dan cabaran yang dihadapi oleh kelompok masyarakat tertentu. Cerita ini tidak mewakili semua masyarakat di Malaya pada ketika itu. Misalnya, ramai kaum India bekerja dalam sistem kangani di ladang getah. Namun begitu ada juga orang India yang bekerja sebagai Chettier yang hidup kaya raya. Natijahnya, novel ini mengisahkan kehidupan orang kebanyakan dan bukan mengisahkan kehidupan orang yang mempunyai kuasa. Ada aspek kehidupan masyarakat di Malaya pada ketika itu tidak ditonjolkan di dalam novel ini. Misalnya, kehidupan kaum kerabat diraja, peranakan, DKA, DKK dan sebagainya.

Yang menjadi isu hangat mengenai novel ini ialah keprihatinan pemimpin masyarakat mengenai kesan penghayatan novel ini terhadap masyarakat India. Ini adalah kerana novel ini memaparkan kisah pendatang dari India yang kebanyakannya datang dari kasta pariah. Novel ini seharusnya dilihat sebagai sebuah teks sastera bukan bukannya buku yang mencatit sejarah. Abdullah Hussain bukan seorang sejarawan. Dia merupakan seorang pengkritik masyarakat dan banyak kritikan ini terpancar melalui karya fiksyen. Jika diteliti teks novel ini, isi kandungan novel ini sebenarnya banyak mengkritik pemerintah kolonial pada ketika itu. Sengsaraan yang dihadapi oleh ketiga-tiga watak ini disebabkan dasar-dasar ekonomi pemerintah kolonial yang memerah pekerja asing tanpa belas kasihan. Namun begitu, memori sosialnya juga memainkan peranan dalam menghasilkan corak karya fiksyen ini. Oleh itu, memang tidak dapat dinafikan bahawa novel 'Interlok' ini mencerminkan sebahagian daripada sejarah nasional Malaysia yang pernah dia lalui atau mengalami.

Namun Novel 'interlok' juga terdapat satu percubaan untuk mengimbangi perspektif sejarah dengan memaparkan kisah peribumi Melayu, Seman, juga menghadapi kesengsaraan hidup semasa pemerintah Inggeris. Walaupun bagaimana pun, kesengsaraan yang dihadapi oleh Seman agak berlainan daripada watak Ching Huat dan Maniam. Kehidupan Seman teraniaya oleh seorang seorang berbangsa Cina. Kisah ini jika tidak dilihat dari perspektif seorang nasionalis, mampu membangkitkan rasa marah dan tidak puas hati dengan pendatang Cina. Seperti apa yang dipentaskan di teater 'pariah', Hafiz menegaskan bahawa apa yang terkandung di dalam novel 'Interlok' adalah benar bahawa orang melayu adalah bangsa peribumi Malaysia dan tidak boleh membiarkan mengubah sejarah dengan mengatakan bangsa Melayu adalah masyarakat pendatang juga. Kahoe juga dalam teater 'Pariah' mengaku bahawa ketiga-tiga abangnya diberi pendidikan Inggeris dan diharapkan berhijrah dan bekerja di luar negara kerana ibu bapa mereka tahu masyarakat Cina di Malaysia tidak ada masa depan. Namun begitu Kahoe diberi pendidikan Melayu kerana ibu bapanya mahu dia duduk di Malaysia untuk menjaganya. Secara keseluruhannya, teater 'pariah' menggambarkan bahawa masyarakat majmuk di Malaysia ini sebenarnya tidaklah harmoni yang disangkakan. Disebalik hidup dalam harmoni, terdapat juga rasa tidak puas hati yang terbuku di dalam hati setiap masyarakat di Malaysia.

Teater 'Pariah' mempertahankan novel 'Interlok'

Teater 'Pariah' itu sendiri seakan-akan mempertahankan novel 'Interlok' menerusi watak-watak yang dilakonkan. Melur melihat novel 'Interlok' ini sebagai teks sastera dan untuk meneroka dan mengupas sesebuah teks sastera, seseorang itu harus menjauhkan dirinya daripada bersikap berat sebelah dan syak wasangka. Seseorang itu harus mempunyai minda yang terbuka dan harus menghampiri objektiviti dalam mengupas teks sastera. Watak yang mengaitkan perasaan dirinya terhadap teks sastera ialah Maniam. Pada pandangan Maniam, teks sastera ini telah menghina masyarakat India. Kahoe pada mulanya lebih objektif dalam penghayatannya mengenai novel ini. Namun begitu, dia mula menerima kenyataan bahawa apa yang dikatakan oleh Maniam itu benar. Orang bukan Melayu di Malaysia tidak mendapat layan yang sama rata dengan orang Melayu. Namun begitu, tidak mungkin novel ini mengadungi ideologi yang didokong oleh pemerintah Malaysia. Memang benar bahawa bangsa Melayu adalah bangsa peribumi dan bangsa Cina dan India merupakan masyarakat pendatang. Walaupun demikian, generasi muda masyarakat Cina dan India kini menganggap diri mereka sebagai 'peribumi' kerana mereka telah dilahirkan dan dibesarkan di Malaysia. Yang menjadi perutusan utama teater 'pariah' ialah adakah 'bangsa Malaysia' ini dapat dicapai? Pemerintah Malaysia percaya bahawa Dasar Ekonomi Baru (NEP) dapat melahirkan bangsa Malaysia dalam jangka panjang memandangkan dasar-dasar ini akan, berdasarkan rancangan, menipis jurang sosio-ekonomi di antara masyarakat di Malaysia terutama sekali masyarakat Cina dan Melayu.

Bangsa Melayu, Bangsa Malaysia dan Satu Malaysia

Isu mengenai definisi bangsa Melayu ketika tahun 1940an terutama sekali ketika Malayan Union juga dibincangkan di dalam buku "Bangsa Melayu: Malay concepts of democracy and community, 1945-1950" oleh Ariffin Omar. Pada ketika itu pemerintah Inggeris telah mencipta satu bangsa baru yang dipanggil "Malayan". Istilah "Malayan" ini tidak seharusnya dikelirukan dengan bangsa "Melayu". Menurut pemerintah Inggeris, bangsa "Malayan" ini adalah orang yang dilahirkan di Malaya. Oleh itu, tidak kira bangsa atau agama, sesiapa sahaja yang dilahirkan di Malaya akan diberi hak saksama dan diberi status warganegara Malaya. Istilah "Malayan" ini telah mendapat tentangan hebat daripada nasionalis Melayu dan akhirnya menubuhkan UMNO (Perhimpunan Kebangsaan Melayu Bersatu) untuk menentang Malayan Union. Pada ketika itu, keahlian UMNO juga menjadi isu hangat sama ada UMNO membenarkan orang bukan Melayu untuk menyertai UMNO. Oleh itu, timbulnya isu mengenai "masuk Melayu". Jika disingkap melalui sains kemasyarakatan (Social Science), "masuk Melayu" bererti asimiliasi ke dalam budaya Melayu. Oleh itu, seseorang boleh masuk Melayu jika dia boleh bertutur dalam bahasa Melayu, mengikut adat Melayu dan menganut agama Islam.

Sejak Malaysia (1957 Malaya) mengecapi kemerdekaan, pemerintah Malaysia telah mengikut pendekatan ini. Walaupun, budaya dan kepercayaan masyarakat India dan Cina diiktirafkan, pemerintah Malaysia (dikuasai oleh orang Melayu) mengharapkan orang Cina dan India akan menjadi sebahagian daripada masyarakat Melayu melalui pendidikan formal. Memang tidak dinafikan bahawa Malayan Chinese Association (MCA) dan Malayan Indian Congress (MIC) juga memainkan peranan dalam mempertahankan dana menjaga kebajikan masyarkat masing-masing. Namun begitu, parti-parti politik ini telah terikat dengan satu perjanjian yang dilakukan ketika dalam proses kemerdekaan yang mengiktirafkan Bangsa Melayu sebagai bangsa pribumi dan setiap hak istemewa dan kepentingan orang Melayu tidak seharusnya dipersoalkan. Formula Perikatan UMNO-MCA-MIC ini sememangnya mencerminkan integrasi kaum di antara tiga bangsa terbesar di Malaya dalam membentuk pemerintah padu pada tahun 1955. Namun begitu, kohesi eliti ini hanya kukuh di peringkat kepemimpinan. Pada tahun 1969, keretakan di dalam negara Malaysia sudah mula kelihatan apabila Parti Perikatan UMNO-MCA-MIC telah kehilangan majoriti dua pertiga majoriti kerusi parlimen. Keputusan Pilihanraya Umum 1969 disusuli dengan rusuhan kaum pada tanggal 13 Mei. Pada ketika itu, konsep ketuanan Melayu sudah hilang mendapat sokongan daripada kaum minoriti India dan Cina. Ini adalah kerana parti komponen MCA dan MIC sudah tidak dapat sokongan daripada masyarakat mereka. Malah, dua parti dominan Cina, Parti Gerakan dan DAP (Parti Tindakan Demokrasi) serpihan daripada PAP, mendapat sokongan kuat daripada pengundi bukan Melayu. Dua parti ini memperjuangkan hak sama rata untuk semua rakyat Malaysia.

Sebagai akhirul kalam, Negara Malaysia masih lagi berdepan dengan isu pembangunan identiti negara. Selagi masyarakat India dan Cina dianggap sebagai masyarakat pendatang, konsep "Satu Malaysia" sukar dicapai.

Novel 'Interlok'

Novel 'Interlok' edisi murid

Petikan dari novel yang boleh membuat orang Cina marah:

Petikan 1:

" . . . kita tak punya anak perempuan. kalau ada anak perempuan kita boleh jual." ms 120

Petikan 2:

"Mereka semua duduk berhimpit-himpit di atas geladak yang sempit itu seperti babi dalam kandang." ms 130

Kaum Cina mempunyai kepercayaan tradisi bahawa anak lelaki adalah aset kepada sesebuah masyarakat. Ini adalah kerana anak lelaki akan mewarisi nama keluarga. Namun begitu, ini tidak bererti kaum Cina tidak menghargai anak perempuan. Gegala jual anak perempuan ini berleluasa dalam masyarakat Cina yang menghadapi pelbagai masalah kewangan. Isu mengenai stereotaip ini telah diketengahkan melalui watak Kahoe.

Petikan dari novel yang boleh membuat orang India marah:

Petikan 1:

"Satu perkara besar yang membuat mereka senang bergaul ialah mereka itu tergolong dalam satu kasta Paria. mereka tidak takut mrngotori sesiapa jalau bersentuhan dan mereka bebas lepas bergaul." ms 251

Petikan 2:

"Tempat dalam kapal itu tidak teratur, mereka ditempatan sahaja berasak-asak seperti kambing." ms 251

Memang tidak dapat dinafikan bahawa masyarakat Hindu masih mengamalkan sistem kasta. Namun begitu, tidak semua orang India yang berhijrah ke Malaya ini datangan daripada kasta pariah. Ada juga orang India yang datang daripada kasta Brahmin, Kshatriyas, Vaishyas, Shudras. dan Dalit. Namun begitu, menurut kepercayaan orang hindu, apabila orang India berlayar ke luar negara, status kasta mereka akan hilang. Oleh itu amal sistem kasta ini kurang diamalkan oleh masyarakat India di luar benua India kecuali orang Hindu yang datang daripada kasta Brahmin yang masih lagi diperlukan untuk menjalankan upacara agama. Perkataan 'Paria' di dalam novel ini telah menjadi isu hangat diperdebatkan oleh masyarakt India in Malaysia. pada mulanya, novel ini diharamkan. Namun begitu, novel pengharamkan novel ini telah ditarik semula. Pada awal tahun ini HINDRAF telah mengadakan tunjuk perasaan terhadap novel 'Interlok' yang telah dijadikan teks sastera wajib tingkatan lima.

Petikan dari novel yang boleh membuat orang Melayu marah:

Petikan 1:

"Waktu bapanya masih hidup, kita semua tahu, bapanya tu ada banyak membeli tanah. Tanah sawah, tanah kampung dan tanah kebun dekat kuala dialah yang beli. Tetapi alih0alih waktu dia mati kata Seman tanah itu semua sudah digadai pada Cina panjang tu, dan orang Cina itu pun suruh Seman ini keluar dari kampung tersebut. Seman ini buta huruf, tuk penghulu, alif sebasar batang kelapa pun dia tak kenal, mata tongkang, jadi saya tak berapa pasti apakah betul atau tidak, ataupun orang Cina itu mau perdaya dia saja." ms 92

Petikan 2:

"Kami tak punya rumah, kami tak punya tanah. Kami cuma menumpang saja." ms 102

Novel 'Interlok' ini mengupas mengenai isu yang dibelengui oleh orang Melayu. Isu ini mungkin menimbulkan kemarahan orang Melayu memandangkan orang Melayu merempat di negeri sendiri dan menjadi mangsa kepada pendatang Cina iaitu Cina Panjang.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan