Ahad, 31 Julai 2011

Duka Tuan Bertakhta


Novel Duka Tuan Bertakhta baru sahaja saya selesai membacanya tadi. Novel ini ditulis oleh Isa Kamari. Ia adalah novel terkininya. Jalan cerita novel ini agak kompleks and menarik. Apabila saya mula membaca novel ini, saya mendapati sebahagian besar daripada plot novel ini berasal daripada Hikayat Abdullah Munsyi. Saya yakin bahawa penulis telah menggunakan plot dan isu-isu yang diketengahkan oleh Abdullah Munsyi dan tokok tambah cerita agar jalan cerita novel ini akan lebih lengkap. Namun begitu, novel ini tidak seharusnya dijadikan bahan sejarah. Ini adalah kerana ada bahagian-bahagian cerita ini telah ditokok tambah oleh penulis novelnya sendiri. Pada masa yang sama penulis juga telah menambah dua buah tokoh sejarah yang tidak ada dalam Hikayat Abdullah Munsyi, iaitu Wak Cantuk dan Habib Nuh. Saya tidak yakin bahawa Habib Nuh benar-benar bertemu dengan Wak Cantuk walaupun mengikut tarikh lahir dan kematian mereka menunjukkan bahawa mereka hidup dalam zaman dan tempat yang sama. Saya juga tidak yakin bahawa Abdullah Munsyi telah dibelasahi Nuraman, murid kesayangan Wak Cantuk.

Namun begitu, novel ini menceritakan penderitaan kerajaan Melayu di Singapura sewaktu tengku Hussein ditabalkan sebagai Sultan. Di dalam novel ini, Abdullah Munsyi merupakan lidah pengarang. Abdullah Munsyi mempunyai cita-cita untuk menjadi pengarang termahsyur. Dia telah berusaha untuk menterjemahkan kitab Injil kepada bahasa Melayu. Usaha ini ditentang hebat oleh Wak Cantuk dan Habib Nuh. Sebenarnya, kesalihan Hikayat Abdullah juga menjadi tanda tanya. Ini adalah kerana Abdullah juga tidak bersikap objektif dalam menulis autobiografinya. Dia telah menghina kaum kerabat diraja dan sehingga ke hari ini Hikayat Abdullah telah menjadi sebuah bahan sejarah utama dalam mengkaji pemikiran dan budaya orang Melayu pada kurun kesembilan belas. Saya berasa buku ini harus dibaca. Novel ini merupakan salah satu cara untuk mendidik masyarakat umum mengenai sejarah alternatif Singapura.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan