Isnin, 31 Disember 2012

Curang

Persatuan Bahasa Melayu Universiti Kebangsaan Singapura (PBMUKS)
Akudeta Edisi Disember 2012

“Pembelot!” jerit Suhaila lalu menampar muka Hamdan tanpa belas kasihan.

            Hamdan hanya berdiam diri seketika. Dia berada dalam dilema. Belum sempat Hamdan mengatakan sesuatu, mukanya ditampar lagi. Dengan gegas, Suhaila mencapai beg tangannya dan keluar dari restoran Manhattan Fish Market  yang terletak di Plaza Singapura. Pelangan yang berada di situ semua melihat ke arah Hamdan. Pengurus restoran yang berbaju hitam dan memakai tali leher merah itu sedang berbisik-bisik kepada penolongnya. Udang goreng, ikan goreng dan kentang goreng semuanya bertabur di atas lantai. Sia-sia sahaja beli Manhattan Flaming Seafood Platter yang berharga $39.95. Azura terpaku seketika. Dia berkata-kata di dalam hati. Siapa perempuan yang membawa beg tangan Gucci yang hijau gelap itu? Kenapa dia menampar muka Hamdan?

            Suhaila terus masuk ke dalam tandas dan menangis bagaikan budak kecil berumur tiga tahun. Dia tidak sangka Hamdan adalah seorang suami yang curang. Dalam keadaan sedih, dia terkenang peristiwa yang berlaku setahun yang lalu. Dia hampir-hampir memutuskan tali persahabatannya dengan Julia. Pada ketika itu, dia tidak percaya dengan kata-kata Julia.

            “Engkau jangan berbohong.. Aku tahu engkau cemburu. Hamdan yang melamar aku lapan tahun dahulu. Sekarang hidup aku senang dan bahagia. Aku tinggal selesa di kondominium Pebble Bay. Aku sudah mempunyai anak yang berusia enam tahun. Apa yang engkau tidak puas hati dengan aku?” kata Suhaila dengan nada yang agak tinggi sambil melihat permandangan indah dari balkoni rumahnya.

            “Su, percayalah kata-kata aku. Aku selalu ternampak Hamdan bersama seorang wanita di Marina Bay Sands. Mereka bergurau mesra dan sering kali berpimpin tangan,” jawab Julia.

            “Aku masih tidak percaya,” teriak Suhaila.

            Julia menarik nafasnya perlahan-lahan. Dia tenung seketika stadium nasional yang separuh siap. Stadium nasional yang lama telah dirobohkan pada tahun 2010. Di tapak yang sama juga stadium nasional yang baru akan siap dibina pada tahun 2014. Julia berasa sedih dan resah ketika melihat stadium yang separuh siap itu. Membina sebuah mahligai impian diibaratkan membina sebuah stadium yang megah. Proses pembinaan itu mengambil masa yang panjang dan perancangan yang teliti. Julai sedar bahawa rumah tangganya sudah musnah. Dia tidak sangka lelaki yang dia kahwini itu merupakan seorang yang panas baran. Hampir tiap-tiap hari dia dipukul oleh suaminya. Mujurlah, perkara ini dapat dibicarakan dalam mahkamah syariah. Kini, dia hidup sebagai seorang janda. Dia tahu Suhaila agak sukar untuk mempercayai dengan kata-katanya terhadap Hamdan. Sepuluh tahun yang lalu, Julia dan Hamdan merupakan sepasang kekasih. Hamdan memilih Suhaila kerana Hamdan mahu membina masa depan yang lebih cerah. Bapa Suhaila merupakan seorang hartawan.

            “Su, lihat gambar ini,” kata Julia dengan gugup.

            Suhaila melihat gambar di facebook Julia melalui iphone. Dia tenung lama-lama gambar itu dengan jarak dekat. Apa yang dia lihat ialah suaminya, Hamdan sedang bermesraan dengan seorang wanita yang tidak dikenali. Hati Suhaila mula timbul rasa sangsi terhadap suaminya. Dia mula berfikir tentang suaminya. Dengan segera dia menelefon pejabat Hamdan. Namun, suaminya tidak menjawab panggilan itu. Perasaan curiganya terhadap Hamdan semakin membara. Dia menelefon suaminya sekali lagi. Usahanya sia-sia sahaja. Hamdan masih lagi tidak menjawap panggilan telefon itu. Kali ini, dia menekan nombor telefon bimbit Hamdan.

            “Helo,” jawap Hamdan.

            “Helo. Abang di mana? Sudah dua kali Su melefon abang. Abang tidak menjawap panggilan, Su. Selalunya abang menjawap panggilan telefon di pejabat,” kata Suhaila dengan nada yang agak cemas.

            “Abang sedang makan tengah hari. Selalunya Su telefon selepas pukul dua petang. Abang sudah ada di pejabat. Su, ada perkara penting yang mahu memberitahu abang?” tanya Hamdan dengan tenang.

            Suhaila lihat jam tangan berjema Guess. Jam tangannya menunjukkan jam dua belas tengah hari. Sebaik sahaja Hamdan tidak menjawap panggilan telefon tadi, dia sudah mula ada perasaan syak wasangka terhadap Hamdan. Hatinya yang cemas mula redah.

            “Tidak ada apa-apa, bang. Cuma hendak bertanya khabar sahaja. Jangan lupa malam ini. Kita akan ke Marina Square untuk membeli barangan keperluan sekolah Hasyim. Tahun hadapan, Hasyim akan pergi ke sekolah rendah,” kata Suhaila.

            “Okay, Su. Jangan bimbang. Tunggu di tempat biasa. Pukul enam petang nanti abang akan datang untuk membawa Su dan Hasyim ke Marina Square. Jumpa lagi,” kata Hamdan.

            Hamdan mematikan telefon bimbitnya dengan segera. Azura menyepit beberapa potongan daging ayam teriyaki yang sudah masak dan meletakkannya di atas pinggan Hamdan. Kemudian, Azura meletakkan beberapa potongan daging ayam kari mentah di atas tempat bakar untuk dimasak. Mereka sedang berada di Seoul Garden yang teletak di Bugis Junction.

            “Siapa yang telefon tadi, bang,” tanya Azura lalu mengupas kulit udang yang baru sahaja direbus.

            Hamdan tidak menjawab. Belum sempat dia menjawab, Azura telah bertanya soalan lagi.

            “Teman wanita?” tanya Azura dengan lirik matanya yang tajam.

            Hamdan masih berdiam.

            Suhaila duduk sebentar di atas sofa. Dia masih tidak puas hati. Dia sudah mula rasa dirinya telah dicabar. Dia sudah mula rasa bahawa Hamdan telah berlaku curang. Banyak soalan yang sedang bermain-main dalam fikirannya. Soalan-soalan ini akhir terjawap apabila dia melihat sendiri, Hamdan sedang bermesraan dengan seorang wanita di restoran Manhanttan Fish Market.  Sedang Suhaila berada di dalam tandas untuk mengenangkan diri, Azura mula bertengkar dengan Hamdan.

            “Hamdan, siapa perempuan itu? Pasti ada sebab mengapa wanita itu menamparmu,” tanya Azura dengan nada yang agak tinggi.

            “Sebenarnya, Su . . . Eh, Azura, dia adalah isteri abang,” jawap Hamdan dengan suara yang mula tersekat-sekat.

            “Apa?! Dia isteri kau?” teriak Azura. Tanpa rasa belas kasihan, Azura menampar muka Hamdan. Semua orang di dalam restoran itu terperanjat. Sepasang suami isteri telah meninggalkan restoran itu kerana pertengkaran itu telah mengganggu ketenteraman mereka yang sedang makan.

            “Sanggup engkau menipu aku. Engkau telah mengaku bujang. Sekarang engkau sudah lukakan hati seorang wanita. Engkau sudah berlaku curang. Sekarang, bagaimana aku mahu percaya yang engkau boleh jadi suami yang baik jika kau telah berlaku curang terhadap isteri engkau sendiri?” kata Azura.

            “Azura, kita boleh berbincang mengenai perkara ini. Kau masih boleh jadi isteri aku yang kedua. Dalam syariah Islam, lelaki boleh kahwin empat,” kata Hamdan.

            “Hamdan, aku kenal engkau sejak di bangku sekolah. Kau seorang yang pemalu dan penakut. Kau seringkali dibuli oleh rakan-rakan sekolah. Dengan badan kau yang gemuk, engkau seringkali diejek dengan gelaran humpty-dumpty. Terus terang aku katakan kepada engkau. Sejak kita bertemu di facebook, cintaku terhadapmu mula berputik. Kini engkau sudah menjadi seorang yang tampan. Engkau sudah berjaya. Kini engkau adalah Pegawai Ketua Eksekutif sebuah firma pembinaan di Singapura. Aku masih ingat lagi setahun yang lalu. Muka engkau terpampar dalam Berita Harian. Engkau mendapat anugerah Usahawan Harapan 2010. Sejak hari itu aku cuba mencari engkau di facebook. Tanpa kau sedari, tiap-tiap hari aku akan melungsuri ke lelaman facebook wall engkau untuk mengikuti setiap gerak-gerimu. Hari ini baru aku sedar bahawa maklumat yang aku dapat daripada facebook mengenai diri engkau adalah tidak benar. Selama ini aku sangkakan yang engkau masih bujang. Rupa-rupanya kau sudah beristeri,” suara Azura menyepi.

            “Baiklah, Hamdan. Mulai hari ini kita tidak ada hubungan lagi. Selamat tinggal!” kata Azura dengan suara sedih berperisa amarah.

Azura terus keluar daripada restoran itu. Hamdan terduduk seketika. Hamdan berasa resah. Pertengkaran di dalam restoran di antara Hamdan dan Azura telah menjadi perhatian utama bagi pelanggan-pelanggan yang masih menikmati juadah mereka. Dia lihat seorang kaki tangan restoran sedang membersihkan sisa-sisa makanan yang telah jatuh ke atas lantai. Tiba-tiba, ada suara budak kecil.

            “Ayah, lelaki yang ditampar tadi, pernah memang anugerah, kan? Tidak silap Shireen, laporan itu pernah disiarkan di Berita Harian.” tanya budak perempuan yang dalam usia belasan tahun.

            “Shh . . . Jangan cakap kuat-kuat,” tegar ayahnya sambil menyuap sekeping udang goreng ke mulutnya.

Sabtu, 22 Disember 2012

Hero Dalam Imaginasi Sejarah: Kajian Kritis dalam Duka Tuan Bertakhta karya Isa Kamari

William Farquhar, Residen Pertama Singapura

Novel Duka Tuan Bertakhta karya Isa Kamari

Penjajah Diangkat Sebagai Hero Masyarat Melayu: Kajian Kritis dalam Duka Tuan Bertakhta karya Isa Kamari

Muhammad Farid bin Mohd
Persatuan Bahasa Melayu Universiti Kebangsaan Singapura (PBMUKS)
Akudeta Edisi Disember 2012

ABSTRAK: Novel Duka Tuan Bertakhta pernah dianggap sebagai sebuah novel sejarah oleh beberapa pihak. Perkara ini juga pernah diakui oleh penulis itu sendiri bahawa beliau berhasrat untuk menulis sebuah sejarah alternatif melalui wadah sastera. Walaupun kekuatan novel ini terletak pada kesedaran sejarah kepada masyarakat umum, pengarang akhirnya mengangkat Farquhar sebagai hero dalam novel tersebut. Novel yang dianggap sebagai novel pasca kolonial ini telah mengejutkan beberapa pembaca mengenai pemilihan hero dalam sejarah imaginasi pengarang. Tujuan kertas ini ialah untuk mengkaji 1) sejauh mana penulis kritikal terhadap sejarah dominan Singapura dan 2) mengapa Farquhar dianggap sebagai wira masyarakat Melayu di Singapura pada kurun kesembilanbelas dan bukan Munsyi Abdullah, Raffles, Crawfurd, Wak Cantuk dan Habib Nuh.

            Sebelum membuat kesimpulan mengenai novel Duka Tuan Bertakhta (diringkaskan Duka Tuan), terlebih dahulu, kita harus mengapresiasi novel ini sebagai sebuah karya sastera bukan sebuah kajian sejarah. Sejarawan akan berasa hampa jika dia menganalisa novel tersebut sebagai sebuah kajian sejarah. Isa Kamari tidak menemukan kajian baru dalam Duka Tuan. Karya beliau adalah hasil pembacaan beliau melalui buku-buku sejarah dan hikayat lama. Beliau hanya melahirkan pandangannya mengenai pembukaan Singapura pada tahun 1819 melalui wadah sastera. Oleh itu, karya Duka Tuan adalah respons beliau terhadap peristiwa itu menerusi apa yang dia baca sejauh ini. Sebagai permulaan, saya akan memberi sedikit maklumat mengenai konteks sejarah dominan Singapura pada hari ini.
           
            Seringkali kita renung mengenai sejarah Singapura, kita akan tertanya-tanya pada diri kita siapakah pengasas Singapura. Berdasarkan buku teks sejarah menengah dua, Raffles telah diangkat sebagai pengasas Singapura. Pada masa yang sama, William Farquhar dan John Crawfurd juga ikhtirafkan sebagai tokoh-tokoh sejarah Singapura yang telah menyumbang kepada pembangunan Singapura sejak tahun 1819. Penjelasan bagaimana Syarikat India Timur Inggeris (British EIC) mendapat seluruh pulau Singapura tidak jelas. Berdasarkan penceritaan melalui buku teks sekolah sejarah, Sultan Hussein dan Temenggong Abdul Rahman seolah-olah telah terpengaruh dengan ganjaran yang lumayan daripada EIC sekiranya mereka menyerahkan hal pentadbiran Singapura secara mutlak kepada EIC. Seringkali kepemimpinan Sultan Hussein dan Temenggong Abdul Rahman dianggap sebagai punca kejatuhan pulau Singapura ke tangan penjajah. Novel Duka Tuan karya Isa Kamari tidak sedikit pun memberi pandangan alternatif mengenai pembukaan Singapura pada tahun 1819.

            Di dalam Duka Tuan, Sultan Hussein dan Temenggong Abdul Rahman dilukiskan sebagai pemimpin Melayu yang lemah. Misalnya, ketika kedua-dua pemimpin ini menandatangani perjanjian pada tahun 1824, mereka berada dalam keadaan mabuk disebabkan candu. Duka Tuan telah melukiskan satu gambaran bahawa Sultan Hussein dan Temenggong Abdul Rahman mudah leka setelah mendapat ganjaran lumayan dari EIC. Trocki, dalam bukunya Prince of Pirates: The Temenggongs and the Development of johor and Singapore 1784-1885, Sultan Hussein dan Temenggong Abdul Rahman telah dipaksa untuk menandatangani perjanjian 1824. Pandangan ini juga serupa dengan pendapat Kwa Chong Guan, di dalam artikelnya, From Temasek to Singapore: Locating a Global City-State in the Cycles of Melaka Straits History. Perjanjian 1819 yang dimeterai oleh Raffles, Sultan Hussein dan Temenggong Abdul Rahman tidak diikhtirafkan oleh EIC. Oleh itu, John Crawfurd menuntut mengembalikan duit papasan yang telah termaktub dalam perjanjian itu. Memandangkan Sultan Hussein dan Temenggong Abdul Rahman tidak dapat melunaskan duit itu, mereka terpaksa menandatangani perjanjian dengan EIC pada tahun 1824.

            Duka Tuan ingin menegaskan bahawa Raffles adalah seorang penjajah. Di Dalam Duka Tuan, Raffles digambarkan seorang yang anti-Islam. Beliau bertanggungjawab dalam pembunuhan beramai-ramai di Palembang. Peristiwa kapal pelayaran ke Batavia telah dirancang oleh Raffles. Beliau juga terlibat dalam perdagangan hamba secara haram. Berdasarkan penceritaan Duka Tuan, pengarang dipercayai telah merujuk kepada beberapa buku rujukan seperti Thomas Stamford Raffles, 1781-1826, schemer or reformer?, oleh Syed Hussein Alatas dan Raffles and religion: a study of Sir Thomas Stamford Raffles' discourse on religions amongst Malays oleh Syed Khairudin Aljunied. Disebalik memburuk-buruk Raffles sebagai seorang yang buta hati, novel Duka Tuan mengetengahkan pendapat bahawa Farquhar adalah pengasas Singapura yang sebenar. Farquhar yang terlebih dahulu yang menemukan Singapura melalui ilmu pengetahuan beliau. Kemudian, Farquhar telah diketepikan oleh Raffles kerana Farquhar dianggap sebagai seorang Residen yang lemah. Farquhar dituduh oleh Raffles sebagai pemimpin yang mengutamakan rakyat daripada kepentingan EIC.

            Sebenarnya, pemilihan pengasas Singapura telah dibahaskan dalam buku teks sejarah sekolah. Berdasarkan buku teks sekolah, ada tiga calon berpotensi untuk diangkat sebagai pengasas Singapura. Ketiga-tiga calon ialah Stamford Raffles, William Farquhar dan John Crawfurd. Memang secara rasmi, Raffles diangkat sebagai pengasas Singapura. Namun begitu, dengan adanya dua calon lain yang masih boleh dibahaskan sama ada mereka harus diikhtirafkan sebagai pengasas Singapura bersama Raffles, sejarah dominan Singapura masih memilih pegawai kolonial sebagai pengasas Singapura. Dalam Duka Tuan, pengarang tidak membidas kenyataan ini. Malah, Farquhar, seorang penjajah telah diangkat sebagai wira orang Melayu.

            Menerusi Munsyi Abdullah, pengarang telah menganalisa punca mengenai kemunduran masyarakat Melayu setelah kedatangan Raffles seperti berikut: 1) “Raja yang bertakhta telah dicengkam nafsu lalu menindas rakyat dengan sewenang-wenangnya.” (Duka Tuan Bertakhta, hlm 475), 2) “Agama Islam yang dianuti rakyat jelata hanya tertumpu pada soal-soal kerohanian dan ibadat khusus tanpa imbangan yang setimpal dalam soal-soal muamalat, pemerintahan dan pentadbiran negara.” (Duku Tuan Bertakhta, hlm 476) dan 3) “Fikiran orang Melayu adalah tertutup dalam banyak hal, terutama dalam penimbaan dan penerokaan ilmu duniawi dan ukhrawi.” (Duka Tuan Bertakhta, hlm 476). Oleh itu, menerusi Munsyi Abdullah, pengarang meletakkan ciri-ciri calon pemimpin Melayu seperti berikut:

“Semua ini tidak akan terjadi jika terdapat pemimpin yang berwawasan dan berwibawa daripada kalangan orang Melayu. Jadi siapakah yang layak memimpin orang Melayu di Singapura, khususnya? Calon tersebut harus bijak, berilmu, mempunyai kebolehan mengesan kelemanan mereka dan berupaya belajar daripada orang lain untuk menawarkan jalan keluar terhadap masalah yang dihadapi rakyat. Dia juga harus mampu berfikir secara tenang, kritis dan berpandangan jauh. Yang utama dia harus mempunyai semangat untuk mencetuskan perubahan dasar pada cara orang Melayu berfikir agar dapat menuju ke arah pembangunan dan kemakmuran hidup. Ibarat pepatah Melayu, belajar bernakhoda, berjalan dengan yang tahu, berkata dengan yang pandai.” (Duka Tuan Bertakhta, hlm 477).

            Berdasarkan ciri-ciri ini, watak yang sesuai dipadankan dalam Duka Tuan ialah Farquhar. Mengapakah Farquhar, seorang penjajah, diangkat sebagai calon yang baik untuk memimpin masyarakat Melayu? Berdasarkan Duka Tuan, Farquhar mampu mencetuskan perubahan dasar pada cara orang Melayu berfikir agar dapat menuju ke arah pembangunan dan kemakmuran hidup. Apabila Farquhar membuka penempatan di Kampung Glam, beliau mengarahkan orang untuk membunuh lipan dan tikus. Setiap pembunuhan tikus dan lipan akan mendapat ganjaran bentuk wang. Melalui cara ini, Farquhar telah memperkenalkan nilai-nilai kapitalis yang memberi ganjaran kepada setipa kerja yang dilakukan. Dengan cara ini juga, ramai orang Melayu mula sedar bahawa cara ini adalah lebih adil daripada cara-cara yang dikendalikan oleh kerajaan Melayu yang mengerah rakyatnya untuk membina sesuatu tanpa memberi ganjaran. Perubahan cara pemikiran orang Melayu mula disedari menerusi watak Ramli, Sudin dan Ajis. Farquhar juga telah berjanji dengan Habib Nuh bahawa beliau akan memberi sebuah tanah untuk mendirikan sekolah untuk kanak-kanak Melayu di Singapura. Beliau juga berhati rakyat dan dekat dengan cara hidup orang Melayu/Islam. Ciri-ciri demikian tidak ada dalam watak Habib Nuh, Wak Cantuk, Raffles, Crawfurd, Munsyi Abdullah, Sultan Hussein dan Temenggong Abdul Rahman.

            Menerusi Munsyi Abdullah juga, pengarang mengkritik ciri-ciri kepemimpinan yang ditampilkan oleh Habib Nuh dan Wak Cantuk. Kritikan watak Wak Cantuk adalah seperti berikut: “Memang dia sangat handal dan mempunyai ramai pengikut. Memang ramai yang takut kepadanya. Namun dia juga dikenali sebagai pendeka yang mempunyai telinga nipis. Dia mudah bertindak mengikut perasaan marah dan dendam. Semangat dan perjuangan Wak Cantuk pula tertumpu kepada kehandalan dan kesakitan perguruan silatnya sahaja dan tidak dijuruskan secara ikhlas dan murni kepada kemaslahatan hidup rakyat jelata. Impiannya untuk menentang penjajah, lantas membela nasib orang Melayu tidak terhasil kerana peracangannya tidak teratur dan sering dipesongkan pertelingkahan dalaman dengan pendekarnya sendiri.” (Duka Tuan Bertakhta, hlm 474-5).

            Kritikan terhadap watak Habib Nuh adalah seperti berikut: “Memang ramai orang Melayu sangat menghormati Habib Nuh yang dianggap wali. Memang dia juga sangat alim dan baik hati. Namun Munsyi Abdullah berasakan Habib Nuh tidak berpengaruh atas pentadbiran dan urusan pemerintahan pulau itu. Kepentingannya sekadar tertumpu pada urusan kerohanian dan upacara agama. Malah pentadbiran British menganggapnya kurang siuman dan selalu berbuat kacau. Habib Nuh berperanan sebagai pelindung akidah dan syariat Islam, tetapi tidak berkeupayaan merubah cara hidup orang Melayu agar terlepas daripada penindasan dan penderitaan yang terbit daripada daripada keborokan istana. Dia juga tidak berupaya menyiapkan orang Melayu dengan ilmu yang membolehkan mereka berhadapan dengan cabaran hidup yang dibawa British secara berkesan.” (Duka Tuan Bertakhta, hlm 474).

            Sungguh ironis apabila watak Habib Nuh dan Wak Cantuk yang dianggap sebagai hero dalam novel Duka Tuan dikritik oleh pengarang itu sendiri melalui watak Munsyi Abdullah. Malah, watak Munsyi Abdullah itu sendiri telah digambarkan sebagai seorang intelektual Melayu pada abad kesembilan belas yang telah ditipu oleh Raffles dan Farquhar. Berdasarkan Duka Tuan, EIC dan London Missionaries Society telah mempergunakan Munsyi Abdullah untuk menterjemahkan kitab Injil ke bahasa Melayu dengan tujuan untuk menyebar agama Kristian dalam masyarakat Melayu. Hadijah Rahmat, dalam bukunya, Antara dua kota: menjejaki kesan-kesan peninggalan sejarah Munsyi Abdullah di Melaka dan Singapura, mengangkat Abdullah Munsyi sebagai bapa kesusasteraan Melayu. Difahamkan Abdullah Munsyi adalah seorang penulis yang kontroversi. Namun demikian, pengarang melihat Abdullah Munsyi sebagai tali barut Inggeris.

            Berdasarkan Duka Tuan, hero masyarakat Melayu adalah Farquhar, seorang penjajah. Malah, beliau adalah seorang orientalis. Farquhar, di dalam Duka Tuan, mempunyai prinsip yang berorientasikan kapitalisme. Dengan prinsip yang berorientasikan kapitalisme, seseorang itu sukar untuk melihat faktor-faktor lain yang menyebabkan kemunduran orang Melayu. Kemunduran orang Melayu seringkali disebabkan masalah pemikiran dan ketadusan budaya. Duka Tuan, melatarbelakangkan sejarah penjajahan Inggeris mula bertapak di Tanah Melayu. Berdasarkan kajian Syed Hussein Alatas, dalam bukunya, Mitos Peribumi Malas, beliau telah mengatakan bahawa penjajah Inggeris sengaja mengetepikan peribumi dalam kegiatan ekonomi. Idea dominan mengenai peribumi malas tidak disangkal dalam Duka Tuan. Malah, Duka Tuan, menguatkan lagi stereotaip negatif terhadapa orang Melayu dengan menggambarkan Sultan Hussein dan Temenggong Abdul Rahman yang menyerahkan kedaulatan Singapura kepada penjajah setelah mendapat wang pampasan yang lumayan, melukiskan seorang intektual Melayu, Munsyi Abdullah yang dipergunakan penjajah, mengkritik Habib Nuh, seorang yang dianggap “nabi” Melayu yang hanya memainkan peranan penting dalam upacara keagamaan dan mengetengahkan pendapat bahawa Wak Cantuk, seorang wira roman sejarah di Singapura, gagal untuk menentang Inggeris kerana tidak cekap dan panas baran. Tambahan pula, Farquhar, seorang penjajah, dilihat sebagai pemimpin terbaik untuk orang Melayu di Singapura. Apabila Farquhar harus meninggalkan Singapura, ramai orang Islam menunggu di perlabuhan untuk mengucapkan selamat tinggal kepada beliau.

            Sebagai akhirul kalam, persoalan-pesoalan Duka Tuan yang dianggap ramai sebagai satu percubaan untuk memberi suara alternatif mengenai sejarah pembukaan Singapura sebenarnya masih lagi terikat daripada sejarah dominan. Dengan kritikan perwatakan Raffles yang lantang, memang tidak dapat dinafikan bahwa ramai pembaca akan berpendapat bahawa Duka Tuan telah memberi suara alternatif kepada sejarah Singapura. Namun begitu, Duka Tuan telah mengangkat Farquhar, yang juga seorang penjajah seperti Raffles dan Crawfurd, sebagai hero orang Melayu di Singapura pada kurun kesembilan belas.