Rabu, 1 Februari 2012

ASTAKA: Ke arah CITA sempurna (14 Januari 2012)





Cita Sempurna merupakan satu konsep yang mendukung pandangan hidup yang menyeluruh bertujuan untuk mencapai masyarakat sempurna. Konsep ini pernah diketengahkan oleh Profesor Syed Hussein Alatas di dalam bukunya yang bertajuk ‘Cita Sempurna Warisan Sejarah’. Menurut beliau, cita sempurna bukanlah sesuatu ideologi yang lengkap seperti dasar kenegaraan kapitalisma liberal, Komunis, Islam atau Katolik. Cita sempurna itu relatif pada waktu dan tempat. Jika ditinjau sejarah manusia sejauhnya pandangan ke belakang, perjuangan untuk menegakkan cita sempurna merupakan satu percubaan yang amat penting sepanjang masa. Usaha untuk mencapai cita sempurna ini telah menjelma dalam pelbagai rupa. Salah satu jelmaan rupa ini boleh dibentuk menerusi penghayati sastera dan seni.

Sastera dan seni merupakan sebuah wadah masyarakat yang indah. Dengan intipati sastera dan seni Melayu agak enak dan ranum, penghayatan sastera dan seni ini boleh memainkan peranan dalam membina sebuah masyarakat yang lebih lembut dan sejahtera untuk dihayati. Dalam usaha untuk melahirkan masyarakat peduli terhadap sastera dan seni Melayu di kalangan anak muda Singapura, Jabatan Pengajian Melayu di Universiti Nasional Singapura (NUS) dengan The Arts House telah menganjurkan sebuah program yang dinamakan CITA: Sastera dan Seni. Acara CITA: Sastera dan Seni merupakan satu program perintis kerjasama kedua-dua pihak tersebut. Usaha ini juga turut disokong oleh Lembaga Pembelajaran dan Penggalakkan Bahasa Melayu (MLLPC), Yayasan Warisan Melayu dan Majlis Bahasa. Acara kemuncak pada hari itu ialah ASTAKA.




Semasa dalam sesi ASTAKA para peserta telah diberi peluang untuk mendeklamasikan sajak yang dipilih oleh mereka. Sajak-sajak yang mereka pilih untuk dideklamasikan ini telah diperkenalkan oleh promoter daripada mahasiswa NUS dan NTU terlebih dahulu. Sebagai pembuka tirai ASTAKA ini, Encik Suratman Markasan telah tampil kehadapan untuk mendeklamasikan sajaknya. Deklamasi sajak ini diteruskan oleh beberapa sasterawan yang lain seperti Encik Mohammad Latiff Mohd dan Encik Rahman Daud. Kemudian diikuti dengan guru-guru, mahasiswa-mahasiswa dan peserta yang lain. Peserta yang lain ini terdiri daripada pelajar-pelajar daripada sekolah menengah yang terpilih untuk mengikuti program Mentor sastera yang bakal dipimpin oleh . Tujuan mengendalikan acara ASTAKA ini ialah untuk memumpuk semangat berani dan terampil di kalangan anak-anak muda. Setiap sajak yang dideklamasi itu diringi oleh lagu yang didendangkan oleh Encik Yunus dan Encik Zul.




Acara ASTAKA ini merupakan satu plaform di mana masyarakat diberi saluran untuk menghayati keindahan puisi melayu. Perkataan Astaka ini membawa erti sebuah pentas kecil yang lazimnya dibina di dalam balairung atau singgahsana apabila ada upaca khas atau bermusyawarah. Namun begitu, acara Astaka ini membawa satu konsep baru di mana pestas ini dibuka kepada orang ramai untuk meluahkan ekspresi mereka melalui seni. Platform untuk meluahkan emosi dan pendapat melalui seni ini sesuai dengan tempat yang telah diadakan, yakni The Arts House, yang juga merupakan bekas parlimen di Singapura.

Selain acara ASTAKA, program mesra masyarakat ini telah membuka tirainya pada tanggal 14 Januari 2012 di mana Encik Suratman Markasan muncul sebagai pemakalah pertama. Beliau membentang makalah yang bertajuk ‘Perjalanan Melalui Puisiku: Menegakkan Keadilan Melalui Bangsa.’ Kemudian, sesi ini diikuti dengan sesi KOMENTARI. Di dalam sesi ini, Dr Azhar telah membentangkan makalahnya yang tertajuk ‘Sastera Melayu Singapura Kurun Kesembilanbelas: Dokumentasi Sejarah Sosial sebuah Masyarakat.’ Semua acara CITA: Sastera dan Seni ini akan diadakan di The Arts House. Sesi seterusnya akan diadakan pada 18 Februari 2012. Encik Mohammad Latif Mohd akan menjadi pemakalah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan