Jumaat, 24 Jun 2011

Lawatan ke Masjid Temenggong Daeng Ibrahim dan Makam Diraja (Telok Blangah)

Pada tahun lalu, saya dan teman saya pergi ke Masjid Temenggong Daeng Ibrahim untuk membuat kajian. Lawatan ini tidak rasmi dan temu ramah dengan pekerja-pekerja di masjid itu lebih bersifat informal. Saya dan teman saya mempelajari banyak perkara mengenai Masjid ini.

Titah raja

Sebenarnya titah raja lebih berkuasa daripada undang-undang Malaysia dan Singapura. Memandangkan tanah perkarangan masjid ini dimiliki oleh Sultan Johor, titah raja telah mendahului undang-undang Malaysia dan Singapura. Sewaktu di masjid, kami telah meminta izin kepada pegawai masjid untuk masuk kedalam bilik makam. Di dalam bilik itu adalah tempat persemadian dua tokoh penting. Tokoh-tokoh penting ialah Temenggong Abdul Rahman dan Temenggong Daeng Ibrahim. Pegawai masjid itu membenarkan kami masuk ke dalam bilik tetapi melarang kami untuk mengambil gambar. Dengan penuh kemusyikilan kami bertanya kepada pegawai itu kenapa tidak dibenarkan mengambil gambar makam Temenggong Abdul Rahman. Pegawai itu berkata itu adalah titah raja. Pegawai itu juga mengingatkan kami agar jangan langgar titah raja kerana ditakuti ditimpa daulat raja.

Status masjid

Menurut pegawai masjid, tanah perkarangan masjid ini dimiliki oleh Sultan Johor. Namun begitu, pentadbiran masjid ini telah diambil alih oleh Jabatan Agama Islam Johor. Jawatan kuasa Masjid dianggotai oleh rakyat Singapura dan Johor. Setiap tiga tahun sekali, pegawai dan pekerja di masjid itu akan digantikan baru. Pegawai-pegawai yang bekerja di masjid ini merupakan warganegara Malaysia. Mereka telah disediakan tempat tinggal dan mereka tinggal bersama keluarga mereka.

Gambar Temenggong Daeng Ibrahim

Status masjid

Menurut pegawai masjid, tanah perkarangan masjid ini dimiliki oleh Sultan Johor. Namun begitu, pentadbiran masjid ini telah diambil alih oleh Jabatan Agama Islam Johor. Jawatan kuasa Masjid dianggotai oleh rakyat Singapura dan Johor. Setiap tiga tahun sekali, pegawai dan pekerja di masjid itu akan digantikan baru. Pegawai-pegawai yang bekerja di masjid ini merupakan warganegara Malaysia. Mereka telah disediakan tempat tinggal dan mereka tinggal bersama keluarga mereka.

Tempat tinggal pegawai masjid. Ada bendera Malaysia tergantung di bangunan itu.

Undang-undang Malaysia berkuat kuasa di perkarangan masjid ini

Lawatan Sultan Johor

Kami diberitahu bahawa Sultan Johor selalu melawat masjid dan makam ini. Sultan Ibrahim Ismail, Sultan Johor yang ke 25, merupakan generasi keenam kepada Temenggong Abdul Rahman. Menurut pegawai masjid, Sultan Johor akan membuat lawatan kepada masjid ini secara eksklusif. Baginda akan melawat masjid dan makam ini pada hari raya puasa, hari raya haji, hari kemangkatan ayahanda dan hari keputeraan baginda. Semasa kami membuat lawatan itu, ramai pegawai-pegawai diraja Johor berada di situ untuk membuat persiapan untuk menyambut Hari Raya Puasa memandangkan Sultan Johor akan membuat lawatan ke makam pada pagi raya.

Makam Temenggong Abdul Rahman dan Temenggong Daeng Ibrahim

Bangunan yang hampir musnah ini dipercayai tempat persemadian orang kaya.

Sejarah masjid

Masjid Temenggong Daeng Ibrahim ini terletak di Telok Blangah. Masjid ini telah dibaik pulih pada tahun 1993. Menurut, Dato Ahmad Abdullah, pengerusi Jabatan Hal Ehwal Islam Johor, Sultan [Ibrahim] berasa masjid ini tidak boleh dibaik pulih kerana keadaan bangunan yang semakin usang. Oleh kerana itulah, Sultan Ibrahim telah mengambil keputusan untuk membina masjid yang baru tetapi mengekalkan asal bentuk bangunannya (New Mosque to replace Masjid Jamek, The Straits Times, 1991, 13 April). Untuk mengekalkan nilai-nilai sejarah, nama masjid telah dikekalkan. Sebelum ini, masjid ini berfungsi sebagai balairung. Seminggu sekali, Temenggong dan Penghulu kampaung akan bermusyawarah di balairung. Walaupun kuasa politik telah beralih ke tangan Inggeris, fungsinya balairung ini telah menunjukkan bahawa Temenggong pada masa itu masih mempunyai pengaruh sekurang-kurang di peringkat akar umbi.

Di hadapan masjid

Masjid berbentuk segi lapan (gambar diambil dari atas)

Sejarah ringkas

Temenggong Abdul Rahman merupakan seorang tokoh penting dalam sejarah Singapura. Beliau telah menemukan Sultan Hussein dan Tuan Raffles untuk menandatangani perjanjian 1819 untuk membenarkan Syarikat Timur India (EIC) membuka sebuah kilang di selatan Singapura dan sekaligus menabalkan Tengku Long (Sultan Hussein) sebagai Sultan Singapura (Ada sumber-sumber lain mengatakan bahawa Tengku Long ditabalkan sebagai Sultan Johor).

Apabila Temenggong Abdul Rahman mangkat pada tahun 1825, Syarikat India Timur (EIC) tidak melantik Temenggong yang baru. Anak sulungnya Temenggong Daeng Ibrahim hanya dilantik sebagai Temenggong baru oleh EIC pada tahun 1841. Pada masa itu, kegiatan lanun semakin berleluasa. Pihak Inggeris akhirnya menjalinkan hubungan baik dengan Temenggong dalam usaha mereka untuk membasmi kegiatan lanun. Sebagai membalas jasa, EIC telah mengiktirafkan kedaulatan tanah besar Johor kepada Temenggong Daeng Ibrahim.

1 ulasan:

  1. Secebis pautan sejarah berkenaan tempat ini;

    http://untoldhistoriesofmalaya.blogspot.ae/2011/04/untold-history-forgotten-palace-of.html

    peace,

    BalasPadam